suria

Penerima bantuan ‘disiasat’ aktivis... Beli banyak ‘jajan’, beras tak pula dibeli - “Anak saya nangis berguling-guling”

Membeli barang keperluan untuk keluarga. -Gambar hiasan / The Star

SEMEMANGNYA bukan mudah untuk mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) membantu keluarga yang susah.

Bukan kerana kekangan sumber dana, tapi kesukaran itu kadang-kadang lebih kepada corak perbelanjaan yang tidak bijak sebaik menerima bantuan kewangan.

Begitulah situasi yang dihadapi aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi apabila menyedari sesuatu terhadap keluarga miskin yang ‘terlupa’ tentang barang keperluan yang perlu diberi keutamaan dalam berbelanja.

Tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp bersama seorang penerima bantuan dikongsikan di media sosial, apabila Syed Azmi meneliti resit pembelian sehingga menimbulkan tanda tanya.

Resit pembelian menggunakan wang bantuan.

Ternyata dia terkejut apabila resit yang berjumlah RM83.20 itu tertera beberapa barang bukan keperluan seperti coklat berjenama, termasuk sekotak besar air teh bunga dan satu pek gula-gula.

“Terangkan kepada saya kenapa beli teh bunga dan coklat Cadbury yang mahal? Kenapa sampai Chupa Chups dan Cadbury... dua barang terus dan bukannya satu barang saja,” soal Syed Azmi.

Seorang wanita penerima bantuan kemudian membalas dengan memperincikan sebab dan alasan kesemua barang kategori ‘kehendak’ itu dibeli.

“Anak saya ambil menangis berguling-guling di kedai. Saya tak dapat nak kawal... maaf, saya boros.

“Esok saya beli beras, tak muat bawa dengan motor,” katanya.

Tangkap layar perbualan antara Syed Azmi dan penerima bantuan.

Bercakap kepada mStar, Syed Azmi berkata, penerima bantuan yang ditegurnya itu merupakan ibu tunggal kepada empat cahaya mata, yang mana bekas suami dimasukkan ke penjara atas kesalahan jenayah pada 2021.

“Keluarga ini sering minta bantuan sejak 2020, tapi bukan dalam jarak masa yang dekat. Saya pantau dari mereka berkeluarga sehingga bekas suami tersalah buat pilihan dan masuk penjara.

“Kita tetap bantu sebab dia ada anak kecil dan tiada sokongan keluarga, tapi kita tak boleh hanya beri bantuan duit sahaja. Dan bantuan kali ini berjumlah lebih RM100.

“Kena juga bimbing mereka dari segi pilihan pembelian terutamanya jika penerima bantuan tiada pekerjaan tetap,” katanya ketika dihubungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta bergerak guna ‘tayar pinjam’, wang bantuan guna beli bateri... rupa-rupanya kisah pasangan ini ada plot twist – “Kalau beli makanan akan habis juga”

ARTIKEL BERKAITAN: Aktivis lepas geram, ibu ‘demand’ 18 pek susu formula untuk sebulan... dah lupa cara susu badan - “Tak tahu macam mana nak mula balik”

Menurut Syed Azmi, wanita itu pernah berniaga tetapi terpaksa berhenti sementara kerana mengalami masalah menyebabkan pada masa ini hanya bergantung kepada bantuan bulanan.

Aktivis itu menjelaskan bahawa tegurannya itu merujuk kepada pilihan pembelian dan pemantauan dibuat memandangkan wang yang diberi perlu digunakan secara berhemah.

Saya sayang kanak-kanak dan okay sangat beli jajan tapi kena ada had.

SYED AZMI ALHABSHI

“Air teh bunga RM2.55? Ye tuan Syed, air tu saya yang nak sebab dahaga sangat. Rumah tiada peti sejuk.

“Chupa Chups RM5.20. Anak-anak nak beli jajan, saya beli sepaket. Jadi saya boleh kawal sehari sebatang. Sepaket ada 30 batang, sebatang RM1 jika beli,” imbas Syed Azmi.

Selain itu penerima bantuan turut membeli sate ikan (RM4.80) dan coklat Cadburry (RM2.95), menjadikan jumlah keseluruhan RM15.50.

Syed Azmi menegur untuk membimbing penerima bantuan. -Gambar AZHAR MAFOF/The Star

Syed Azmi bagaimanapun menerima setiap alasan yang diberi, dengan syarat barang-barang keperluan juga perlu dipastikan cukup untuk sebulan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya sayang kanak-kanak dan okay sangat beli jajan tapi kena ada had. Selepas bantuan diberi, duit sumbangan orang ramai akan bertukar jadi hak milik dia dan ada hak untuk beli apa.

“Dengan pendidikan, dia boleh susun atur membuat pembelian bijak. Saya tak berhak cakap pasal duit bantuan tu tapi saya ‘tanya’ dalam bentuk mengapa supaya saya faham, ‘agar not to judge’... tapi pada masa sama mendidik dia untuk buat pemilihan ini penting,” katanya.

Walaupun ibu tunggal itu mengaku dirinya boros sebagaimana yang dikongsinya dalam hantaran di Facebook, Syed Azmi berkata sekurang-kurangnya dia sedar kesilapannya.

“Masyarakat tidak ada hak mempersoalkan pilihan pembelian tapi boleh beri cadangan sebab kita tiada di tempatnya. Saya sendiri tak marah tapi nak faham kenapa pilih barang itu sebab nanti duit tiada lagi kan susah.

“Walaupun tegas, perbualan kami okay dan pada yang mesej saya ingin membantu, saya menggalakkan pembelian barang online dan hantar ke alamatnya,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain