SERANGAN balas pejuang pembebasan Al-Quds dan Briged Al-Qassam pada Sabtu susulan pencerobohan rejim Israel di Palestin menggemparkan dunia. Perkara itu menyebabkan tentera zionis Israel bertindak menutup setiap pintu sempadan mereka atas faktor keselamatan. Tiada proses keluar masuk dibenarkan dan arahan itu menyebabkan ramai terkandas termasuk sekumpulan rakyat Malaysia yang berkunjung ke Jerusalem untuk menziarahi Masjid Al-Aqsa. Keadaan jalan raya berhampiran pintu sempadan Israel-Jordan. Lebih mengejutkan apabila kumpulan warganegara Malaysia itu terpaksa melalui zon konflik ketika dalam perjalanan meninggalkan Israel untuk memasuki Jordan. Bercerita kepada mStar, seorang mutawif serta pemandu pelancong yang mengiringi kumpulan terbabit, Bismie Amer, berkata dia dan jemaahnya melalui satu detik negeri antara hidup dan mati ketika tersekat selama lima jam di sempadan. "Saya dan jemaah seramai 24 orang bertolak dari Malaysia dan tiba di Jerusalem pada Khamis (5 Oktober), kami menetap di sana selama tiga hari dua malam. ARTIKEL BERKAITAN: Hamas, Al-Qassam lancar serangan balas terbesar ke atas Israel... sekurang-kurangnya 22 terbunuh, ratusan cedera ARTIKEL BERKAITAN: Berkenalan dengan jejaka Palestin ketika remaja, wanita muda ini dedah bagaimana perasaannya sebelum buat keputusan sebaik tamat SPM "Pada Ahad pukul 8 pagi waktu tempatan kami sepatutnya bertolak ke Madinah untuk menunaikan umrah, lawatan ke Jerusalem ni adalah sebahagian daripada ziarah kami. "Namun pada Sabtu, ketika kami sudah pun sampai ke pintu sempadan Israel-Jordan (Allenby Bridge) dengan menaiki bas, kami diberitahu yang border baru ditutup, kira-kira tiga minit macam tu kerana ada letupan di Gaza. "Jadi kami pun terus menunggu dalam 40 minit, kemudian kami dapat panggilan mengatakan ada pintu sempadan yang masih dibuka iaitu sempadan Sheikh Hussein Bridge. Kami terus bergegas ke sana," kata Bismie. Saya mula jadi pemandu pelancong pada tahun 2014, dan ini adalah satu pengalaman yang saya tak akan dapat lupakan. BISMIE AMER Namun, berita baik itu tidak bertahan lama apabila Bismie dan jemaahnya dimaklumkan bahawa kesemua pintu sempadan Israel-Jordan sudah ditutup dan dikawal ketat. "Perjalanan dari Allenby Bridge ke Sheikh Hussein Bridge sepatutnya mengambil masa dalam sejam, tapi tak sampai 10 minit kami bergerak, kami diberitahu semua jalan keluar dari Israel sudah disekat. "Jadi kami pun berhenti dulu di tepi jalan. Saya ketika tu dah laporkan keadaan semasa kami kepada Wisma Putra dan Kementerian Luar Negeri. Suasana di zon konflik yang dilalui Bismie dan jemaahnya. "Saya diberikan arahan untuk kembali semula ke Allenby Brdge kerana sempadan itu yang kemungkinan besar akan dibuka. Tapi ketika kami nak berpatah balik tu, kami terserempak dengan konvoi kereta kebal tentera Israel," cerita Bismie. Menurut Bismie, ketegangan berlaku apabila beberapa kereta persendirian cuba meloloskan diri dari kepungan tentera Israel ke dalam kebun berhampiran. "Kereta kebal dan tentera Israel tu berada di bahagian kiri bas kami, jarak dalam 20 meter. Manakala kereta-kereta tu di bahagian kanan bas, di seberang jalan, ada dalam 10 buah macam tu, mereka cuba melarikan diri dengan menyusup ke dalam kebun. "Dan ketika itu, di depan mata kami, tentera Israel membaling bom tangan ke arah kereta-kereta tu. Apabila nampak tu, kami di dalam bas terus tunduk untuk berlindung. Kami tak nampak letupan, tapi kami dengar dentuman yang sangat kuat. Beberapa kereta yang cuba melarikan diri melalui kebun. "Sangat genting situas masa tui, segar lagi dalam ingatan saya. Menggigil diri ni, kita hanya mampu panjatkan doa saja. Selepas keadaan dah reda sedikit, pemandu bas terus tekan pedal minyak dan pecut keluar dari lokasi kejadian. "Apabila tiba di Allenby Bridge, Alhamdulillah keadaan semua terkawal tapi kami tidak dibenarkan keluar dari bas dan ada tentera Israel yang masuk ke dalam bas untuk membuat pemeriksaan," jelas Bismie. Dalam pada itu Bismie mengakui kecut perut ketika melihat anggota tentera Israel yang lengkap bersenjata api menaiki bas "Kami tiba semula ke Allenby Bridge, waktu tu dah tengah hari, kami sampai awal pagi tadi. Di situ ada dalam empat bas pelancong termasuk kami, antaranya daripada Eropah, Afrika dan Jordan. Bismie membawa jemaahnya menziarahi Masjid Al-Aqsa. "Saya sebagai pemandu pelancong dipanggil untuk menerangkan kepada tentera Israel tentang keberadaan kumpulan kami. Saya maklumkan kami adalah pelawat berasal dari Malaysia. "Saya ingat kami dapat dilepaskan tapi dia minta kami tunggu juga. Kemudian askar Israel tu masuk ke setiap bas untuk buat pemeriksaan, siap bawa senapang dan alat pengesan bom. Dia kira jumlah jemaah dan check semua barangan kami. "Rasa gerun dan trauma apabila lihat semua tu, lebih-lebih lagi apabila kami baru melalui insiden letupan secara live depan mata," kata Bismie yang sudah 10 tahun bergelar seorang mutawif. Selepas hampir empat jam dibiarkan menunggu, tentera Israel akhirnya membenarkan Bismie dan jemaahnya untuk memasuki Jordan. Bismie berkerjaya sebagai pemandu pelancong dan mutawif untuk sebuah agensi pelancongan. "Alhamdulillah kami dilepaskan masuk ke Jordan tanpa ada apa-apa yang buruk berlaku. Di sempadan Jordan, ada bas daripada agensi pelancongan yang sudah menunggu untuk membawa kami pergi. Syukur selamat semuanya. "Perjalanan diteruskan seperti yang dirancang, kami akan berangkat ke Madinah pada Ahad jam 8 pagi waktu tempatan, akan transit di Doha, Qatar dahulu. "Saya mula jadi pemandu pelancong pada tahun 2014, dan ini adalah satu pengalaman yang saya tak akan dapat lupakan, rasa dekat sangat dengan kematian. "Tak sangka masih diberi peluang untuk terus bernafas," kata Bismie menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube