suria

Lari rumah, protes tak nak sambung belajar akhirnya jadi peguam! Anak derhaka insaf, doa mak ayah atasi segala

Aidil kongsi perjalanan hidupnya sebelum bergelar peguam syariah.

SETIAP keputusan yang dibuat selepas seorang pelajar tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ibarat satu perjudian untuk menentukan masa depan dirinya.

Bagi Aidil Akmal, dia tidak merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tamat SPM pada 2014.

Walaupun sudah tahu hasratnya pasti tidak akan dipersetujui kedua-dua orang tuanya namun dia nekad untuk meyakinkan ibunya yang merupakan seorang pendidik.

"Belum sempat saya buka mulut, mama selit dulu cakap awal-awal kalau abang tak nak sambung belajar, mama tak bagi. Saya memberontak cakap bagi peluang untuk jelaskan dulu kenapa.

"Waktu explain tu, saya nampak air mata mama jatuh. Saya cakap saya tak nak jadi macam orang biasa. Saya siap lukis lagi atas kertas, ni (tunjuk) kalau abang ambil STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), asasi dan diploma.

Aidil mengambil jurusan undang-undang sebelum bergelar peguam.

"Habis SPM sambung degree dan tamat pengajian, baru tergapai-gapai nak cari kerja. Saya (jelaskan) nak buat bisnes sendiri. Saya berjaya pujuk mama tapi bukan abah," katanya menerusi hantaran di TikTok.

Kecewa dengan bapanya yang berkeras mahu dia menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah, Aidil menunjukkan protes dengan lari dari rumah.

Menyedari tindakan tersebut mengguris hati ibu bapanya, dia bagaimanapun pulang ke rumah dan meminta maaf daripada mereka pada keesokan harinya.

"Saya tak boleh fokus, sebab hati tak tenteram dan saya balik rumah malam tu.

"Saya keliru tak tahu nak buat apa tapi nak dijadikan cerita esok pagi tu saya bangun dan tiba-tiba Allah jentik hati.

"Apa yang saya buat tu salah dan saya jumpa mama abah minta maaf," katanya.

Akur dengan permintaan ibu bapanya, Aidil menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga berjaya memperoleh ijazah.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kongsi kisah sedih, bapa tergamak catu nafkah anak... Beri RM100 makan minum sebulan, tapi diri sendiri belanja RM600

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan menjauh selepas berhenti kerja, bekas peguam sedang serabut fikir bisnes temui ‘keajaiban’ selepas layankan juga permintaan mak ayah

"Saya buat keputusan untuk sambung belajar Asasi Undang-Undang, tapi sejujurnya memang tak ada hati. Saya belajar sebab nak senangkan hati mama dan abah. Pergi dan balik kelas memang macam orang tak ada perasaan.

"Memang tak mudah dan perit tapi saya cuba paksa juga. Tiap-tiap malam called mama nangis cakap abang tak boleh, abang tak ada hati dekat sana. Tapi mama dan abah teruskan pujuk dan belikan iPhone.

"Habis asasi, saya sambung buat degree Undang-Undang dekat UiTM. Tapi memang nekad habis belajar ni, saya tak nak jadi lawyer," katanya.

Malah, dalam kesibukan belajar, Aidil sempat berniaga untuk membuktikan kepada ibu bapanya bahawa dia mampu melakukan bisnes seperti diimpikan.

Namun, tanpa disangka-sangka dia mengambil berjaya melakukan amali di firma guaman (chambering) selama sembilan bulan untuk melayakkan dirinya menjadi peguam syariah.

Saya tak tahu dan tak dapat bayangkan apa akan jadi kalau berkeras dan lawan cakap mama abah.

AIDIL

"Saya tak tahu, semua benda yang tak nak, semuanya saya buat dan dapat. Saya bersyukur. Saya tak salahkan mama dan abah, juga tak pernah nafikan takdir yang saya ada di sini disebabkan berkat doa mama abah.

"Saya percaya, doa mama abah tu sangatlah kuat dan bermakna. Saya bersyukur dikurniakan kedua-dua orang tua yang sangatlah supportive. Tak pernah mengalah walaupun saya keras hati tak nak belajar dulu.

"Saya tak tahu dan tak dapat bayangkan apa akan jadi kalau berkeras dan lawan cakap mama abah. Mungkin saya tak akan berada di mana saya ada sekarang. Sejujurnya saya happy di mana tempat saya berada sekarang," jelasnya dalam hantaran tular.

Mengakhiri hantaran itu Aidil yang mengakui dirinya dulu 'anak derhaka' memohon kemaafan secara terbuka kepada ibu bapanya sekiranya mereka terbaca perkongsian tersebut.

Dalam pada itu, dia turut berjanji kepada orang tuanya untuk membantu lebih ramai insan teraniaya di luar sana dengan khidmat guaman yang ditawarkan.

Aidil (tengah) bersama ibu bapanya.

Sebagai pengajaran kepada orang ramai, Aidil menitipkan pesanan agar para pelajar di luar sana sentiasa menghormati ibu bapa serta keputusan dibuat mereka.

"Sebagai seorang peguam, saya happy kerjaya yang Allah aturkan ni dapat bagi saya peluang dan ruang untuk memberi manfaat kepada ramai orang di luar sana," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain