suria

Insiden selamatkan orang pekak jentik hati anggota bomba, sanggup belajar bahasa isyarat... Kini rancak bersembang dengan OKU

Aksi bersahaja Hazman berborak dengan orang pekak raih perhatian ramai.

VIDEO seorang anggota bomba berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dengan orang kelainan upaya (OKU) meraih perhatian netizen di media sosial.

Ketika dihubungi mStar, Abidul Hazman Adam, 33, yang bertugas sebagai anggota bomba di Teluk Intan, Perak berkata dia baru sahaja mempelajari bahasa isyarat sekitar dua tahun lalu.

Bercerita lanjut, Hazman mengakui kesukaran berkomunikasi dengan seorang mangsa kebakaran yang pekak menyebabkan dia tergerak hati untuk mempelajari bahasa itu.

bomba33

Hazman bersama beberapa orang pekak yang melawat balai bomba.

"Sebenarnya sejak dulu memang minat tengok orang pekak bersembang sesama mereka. Tapi ada satu kejadian, ketika nak selamatkan rumah terbakar, ada orang pekak. Jadi susah komunikasi.

"Daripada situ la saya nak belajar lagi. Kiranya dah dua tahun saya belajar. Nak kata menguasai tu belum lagi. Tapi bolehlah sekadar nak bersembang dengan mereka.

"Dengan mempelajari bahasa isyarat, saya dapat memahami mereka dengan lebih mudah. Saya juga ada asas komunikasi bahasa Jepun," ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Bahasa isyarat ni pada saya, ia bukan sekadar untuk orang pekak je. Saya tak pandang begitu.

ABIDUL HAZMAN ADAM

Menurut Hazman yang sudah 10 tahun bertugas sebagai anggota bomba, penguasaan bahasa isyarat bukan sahaja memudahkan operasi menyelamat, malah boleh digunakan dalam kehidupan seharian.

"Sebenarnya bahasa isyarat ni pada saya, ia bukan sekadar untuk orang pekak je. Saya tak pandang begitu. Bahasa isyarat boleh pergi jauh daripada ruang lingkup itu. Bahasa isyarat juga boleh menyepikan dunia yang bising.

"Contohnya dalam operasi kebombaan, kalau semua bomba boleh menggunakan bahasa isyarat, maka lebih senang untuk berkomunikasi dari jarak jauh. Tak perlu guna alat atau pergi lebih dekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang bomba sado belanja biceps terkejut tiba-tiba jadi ‘famous’, netizen jumpa akaun IG... Rupanya bertugas di balai Puchong je!

ARTIKEL BERKAITAN: Abang bomba makin ‘advanced’, buat ‘pick-up line’ atas trak... Ramai tak keruan tengok lelaki sado - “Kuat betul suara perempuan menjerit”

"Begitu juga dengan orang yang tak suka dkena jerkah atau kena marah. Contohnya kalau kita dan pasangan bergaduh guna bahasa isyarat depan mentua atau depan orang lain, sekurang-kurangnya kita dapat jaga hati orang sekeliling," ujarnya berseloroh.

Mengulas video tular dia berbahasa isyarat dengan OKU yang meraih lebih setengah juta tontonan, Hazman mengakui terkejut dengan penerimaan luar biasa daripada netizen.

Tambah Hazman, dia juga terharu membaca komen pujian daripada netizen selepas video yang dirakam di sebuah karnival itu meraih perhatian di aplikasi TikTok.

bomba02

Hazman sudah 10 tahun berkhidmat sebagai bomba.

"Saya ada kawan yang pekak di Kuala Kangsar. Masa tu saya kata saya ada di Ipoh di sebuah karnival. Jadi dia datang dengan kawan-kawan dia. Saya ada di karnival itu kerana terlibat latihan demo.

"Tapi sempat juga saya melayan dan berborak dengan mereka guna bahasa isyarat. Tak sangka video viral. Alhamdulillah, semua komen-komen positif," ujar anak kepada pasangan warden penjara itu.

Akhir bicara, Hazman turut menzahirkan ucapan terima kasih buat sahabatnya yang juga jurubahasa iaitu Abby Tan, Aman Aaron dan Dr Faris yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang dia mempelajari bahasa isyarat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain