BERKAHWIN tapi jodoh tak panjang merupakan antara ketakutan yang sering membelenggu ramai individu. Bagi seorang wanita, dia sendiri mengalami situasi itu apabila mendirikan rumah tangga dan berpisah dalam tempoh yang singkat iaitu hanya beberapa bulan. Menerusi satu perkongsian di laman sosial, wanita itu berkata dia bertunang pada Januari 2022 sebelum bernikah pada Mei dan bercerai pada November tahun yang sama. Kyra bertunang pada 2022, sebelum bernikah dan berpisah pada tahun yang sama. Dalam tempoh kurang setahun itu, Nursyakira Nik Megat mengakui segala-galanya berlaku sekelip mata bagikan mimpi kerana tidak menyangka situasi itu dialaminya sendiri. Wanita berusia 27 tahun itu berkata, dia mengenali bekas suami kira-kira enam bulan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. “Kami kenal beberapa bulan sebelum bertunang. Dia sebenarnya merupakan salah seorang follower saya di Instagram sejak 2019. “Dia selalu DM (direct message) sehingga saya tergerak hati untuk membalasnya pada 2021. Masa mula-mula kenal, dia seorang yang baik dan lemah-lembut,” katanya kepada mStar. Kyra tidak mahu berada dalam perkahwinan yang toksik. Mesra disapa Kyra, dia bagaimanapun berkata segala-galanya berubah selepas mereka mendirikan rumah tangga apabila mengetahui perangai sebenar bekas suami. ARTIKEL BERKAITAN: 3 tahun menangis pujuk, pramugara berjaya tawan hati bekas isteri! ‘Miliki’ semula keluarga dibina selama 26 tahun - “Buang ego dalam tong sampah” ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berpisah 10 tahun, wanita ini pilih balik kepada bekas suami walau boyfriend baik dengan anak - “Saya langsung tak ada perasaan pada dia” “Couple tak lama, bertunang pun sekejap. Selepas berkahwin, barulah saya tahu perangai sebenar dia. Sangat beza, orangnya jadi sangat panas baran dan terlalu agresif. “Saya cuba menyelamatkan hubungan tapi sukar. Kesihatan mental lebih penting daripada saya terus dalam perkahwinan yang toksik,” ujarnya yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, perkongsiannya di laman sosial sekadar untuk kenang-kenangan meskipun masih sakit melepaskan seseorang yang pernah hadir dalam hidup. Memfokuskan diri sendiri dengan melakukan pelbagai aktiviti menggembirakan. Walaupun penceraian baru berlaku setahun lalu dan masih memegang status yang sebelum ini ditakuti ramai wanita iaitu janda, namun Krya mengakui kehidupannya kini lebih tenang. “Nak kata 100 peratus move on? Jujurnya tidak sebab teringat pada orang yang kita pernah panggil suami dan tidur sebantal. Saya sendiri tidak menyangka penceraian. Bercinta selepas kahwin tak valid... perlu kenal siapa pasangan kita, jangan tergesa-gesa nak kahwin. NURSYAKIRA NIK MEGAT “Nak kata menyesal tak juga sebab Allah dah tentukan perjalanan hidup kita. Ada hikmah di sebalik kahwin cepat, cerai pun cepat. “Mulut orang tak boleh nak tutup. Tapi saya rela hadap mulut orang berbanding berada dalam perkahwinan yang toksik,” kata Kyra yang bersyukur kerana kehidupan baharunya mendapat sokongan ibu bapanya. Tidak serik untuk berkahwin lagi, namun Kyra belum bersedia menerima seseorang dalam hidup buat masa ini. Krya yang bekerja dalam bidang perbankan kini selesa memfokuskan pada diri sendiri dengan melakukan pelbagai aktiviti yang membahagiakan dan menggembirakan seperti bersenam. “Saya bersenam. Bukan sebab nak cantik, tapi lebih kepada mahu kehidupan yang gembira dan tenang. Suka tengok drama Melayu, walaupun realiti kehidupan tidak seindah macam dalam drama. “Bagi saya, bercinta selepas kahwin tak valid. Perlu kenal siapa pasangan kita sebenarnya, jangan tergesa-gesa nak kahwin. Jangan ambil risiko perjudikan hidup. “Saya tidak serik untuk berkahwin lagi tetapi hati belum terbuka menerima seseorang dalam hidup. "Sekarang saya fokus pada kebahagiaan diri sendiri. Tapi suatu hari nanti, saya mahu seorang calon suami yang menjaga solat dan kelakuannya, penyabar, bertanggungjawab serta respek,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube