suria

Staf McDonald's sedih pekerjaan dihina, dituduh subahat bunuh sesama Islam... - “Apakah salah mata pencarian aku?”

McDonald's Malaysia banyak menganjurkan aktiviti amal bersama masyarakat.

GERAKAN memboikot jenama yang dikaitkan dengan rejim Zionis rancak mendapat sambutan masyarakat sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Jika diperhatikan di media sosial, gerakan boikot tersebut sepertinya membuahkan hasil apabila sering tular foto atau video di restoran tertentu yang kelihatan lengang dan sepi tanpa pengunjung.

Tidak cukup sekadar itu, tohmahan dan cercaan turut dilontarkan kepada pekerja restoran dan premis perniagaan terbabit kerana dianggap sebagai bersubahat.

Peluang pekerjaan yang disediakan McDonalds kepada komuniti di sekeliling.

Namun, melalui satu hantaran di Facebook, Muhd Ikhmal Naimi yang dipercayai merupakan seorang pekerja McDonald's memberikan satu pandangan daripada sisi berbeza susulan impak gerakan boikot tersebut.

Menurut Ikhmal, jenama restoran makanan segera berkenaan tidak lokek menabur bakti kepada komuniti setempat dan membuka banyak peluang mengasah bakat kepada golongan belia.

Justeru itu pada perspektifnya, tidak wajar untuk masyarakat terus menyelar McDonald's tanpa melihat kebaikan yang pernah dicurahkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Setia hirup kopi jenama dikaitkan dengan Israel, wanita ini tolak gerakan boikot... Simpati nasib pekerja majoriti Melayu Muslim

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran buang produk Israel, sebelum lori sampah angkut lelaki ini kutip dulu! Nak boikot biar berilmu, jangan membazir

"Isi hati ni banyak yang hendak diluahkan dalam waktu yang singkat tapi tak terdaya. Apakah salahnya mata pencarian aku, sampai dianggap hina dan dikatakan pekerjaan kami membunuh sesama umat Islam.

"Sejujurnya banyak kenangan pahit dan manis yang aku lalui sepanjang bekerja di McDonald's Malaysia ini. Aku kagum kerana syarikat yang aku bekerja ini banyak menyumbang semula kepada komuniti rakyat Malaysia.

"Tapi sayang, apabila diberitahu kebaikan yang pernah disumbangkan itu, dikatakan pula hanya untuk mengaburi mata umat Islam," kata Ikhmal meluahkan perasaan.

Kepada Ikhmal... rezeki awak tidak terhad di McDonald's sahaja, mungkin ada yang lebih baik menanti di luar sana.

WARGA MAYA

Tambah pemuda itu, selama ini dia tidak pernah berasa malu untuk mengakui merupakan salah seorang pekerja syarikat francais tersebut.

"Aku juga bangga dengan diri aku, walaupun keluar ke tempat orang ramai, aku tidak malu untuk menyarungkan baju uniform McDonald's Malaysia.

"Sebab aku percaya McDonald's nak beri inspirasi kepada orang ramai untuk datang bekerja dengan kami, banyak peluang keemasan yang boleh direbut.

Pembinaan kerjaya dan latihan yang ditawarkan di McDonald's.

"Tapi sekarang, lain pula di mata orang. Hanya menghina kerja aku seperti tiada yang halal di mata mereka," ujar Ikhmal yang terguris hatinya

Dalam pada ituIkhmal juga tegas mengatakan McDonald's banyak membantu untuk membentuk siapa dirinya hari ini.

"Aku suka kerja aku ni, walaupun tidaklah menjadi kaya dengan bekerja hari-hari, tapi pekerjaan aku ni banyak mengasah kemahiran aku untuk mendisiplinkan diri dan memotivasikan diri agar lebih kuat.

Ikhmal menghargai rakan sekerja di McDonald's sebagai keluarga kecilnya.

"Aku harap sangat agar cuba difahami isi yang ingin disampaikan ini. Aku merayu agar kalian lihat manfaat yang sudah disalurkan McDonald's Malaysia kepada komuniti sekeliling.

"Berkat usaha seperti ini yang mampu mengubah nasib masyarakat kita. Janganlah hanya menuduh atau mengikut cakap orang tanpa bukti yang kukuh atau maklumat yang tepat," kata Ikhmal menitipkan pesanan.

Menjengah ke ruangan komen, ternyata luahan Ikmal menerima maklum balas negatif warga maya yang tetap berpendirian untuk memboikot apa sahaja produk dipercayai berpotensi menyalurkan dana kepada Israel.

Malah rata-rata warga maya cuba menasihati Ikhmal untuk mengubah pendiriannya dan memahami tujuan orang ramai melancarkan gerakan boikot.

Ketika di McDonald's, Ikhmal menjalinkan ukhuwah dan persahabatan yang utuh.

"Ini adalah ujian buat awak juga, tapi tak seberat ujian saudara Islam kita di sana (Palestin). Sedarilah rakyat Palestin sudah hilang segala-galanya. Semoga dipermudahkan urusan awak, percayalah rezeki Allah tu tiada batasnya.

"Kami faham awak suka kerja sekarang, tapi rezeki Allah itu luas. Banyak dah pengalaman yang awak kutip di McDonald's, gunakan pengalaman itu untuk bina jenama sendiri dan bangunkan ekonomi tanpa perlu bergantung kepada yang lain.

"Kita semua sentiasa ada pilihan, bumi Allah ini seluas-luas alam, peluang ada di mana-mana. Kalau rasa terjejas sekarang, anda sentiasa boleh bergerak cari rezeki lain.

"Kepada Ikhmal, awak kena faham, rezeki awak tidak terhad di McDonald's sahaja, mungkin ada yang lebih baik menanti di luar sana, tapi awak sahaja yang belum cuba," kata sebahagian warga maya memberikan nasihat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain