GERAKAN memboikot produk atau jenama yang mempunyai kaitan dengan Israel oleh rakyat negara ini sebagai tanda membantah kekejaman negara itu terhadap Palestin boleh dikatakan berkesan.
Jika dilihat perkongsian di media sosial, ramai juga yang menyuarakan keluhan terutama pekerja di premis atau syarikat yang dikaitkan dengan Israel, lantaran sumber pendapatan mereka terjejas disebabkan situasi semasa.
Tidak terkecuali merasai tempiasnya adalah golongan peniaga.
Dalam satu hantaran di laman sosial, seorang wanita berkongsi kisah menyentuh hati ketika dia berkunjung ke sebuah kedai runcit kecil di kampungnya.
Menurut wanita bernama Nurul Aliaa, dia pada mulanya hanya berniat untuk membeli susu pekat manis sebelum disapa oleh pemilik kedai runcit yang sudah berusia itu.
Hantaran yang dikongsikan wanita tersebut di Facebook.
"Dik tokse (tak mahu) beli ko (ke) ****? Pokcik nok perabis stok hok ni jah (Pakcik nak habiskan stok yang ada saja). Ambik lamo doh ni (ambil dah lama) sebelum musim boikot lagi. Kalau habis hokni (yang ini) pokcik tak ambik doh jenama-jenama hok keno (yang kena) boikot," kata pemilik kedai itu dalam loghat Kelantan, merujuk kepada mi segera yang langsung tidak terusik di kedainya.
Disebabkan simpati, tambahan pula lelaki berkenaan hanya merupakan pemilik perniagaan kecil, wanita tersebut spontan bersetuju demi mahu menyokong ekonomi peniaga tempatan.
"Marilah sepaket pokcik (Bolehlah beri saya sepaket)," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Setia hirup kopi jenama dikaitkan dengan Israel, wanita ini tolak gerakan boikot... Simpati nasib pekerja majoriti Melayu Muslim
ARTIKEL BERKAITAN: Premis makanan naik notis henti jual minuman popular, ganti jenama tak sokong Israel... Ramai puji peniaga berani
Tambah wanita berkenaan, pemilik kedai runcit tersebut sempat memberitahu sekiranya gerakan boikot berlanjutan, dia mengalami kesukaran untuk mendapatkan semula modal yang sudah dikeluarkan.
"Kito pun tak tahu bare (barang) ni keno boikot. Kalu tahu dari awal lagi tak ambik stok. Ni nok perabis, nok modal semula saja. Buat rolling ambik bare (barang) lain. Untung runcit pun bukannya banyak," luah peniaga berkenaan lagi.
Dalam hantarannya, wanita berkenaan dalam masa yang sama meminta orang ramai melihat isu boikot dalam konteks yang lebih luas memandangkan ramai rakyat sendiri yang turut sama terkesan.
Betul tu, habiskan dulu yang ada, insya-Allah nanti boleh gantikan dengan yang lebih baik.
NETIZEN
"Kalau kedai runcit kecil-kecil tu awak tolong perabis stok lepas tu pesan dekat tuan kedai cukuplah restock bare (barang) hok support Israel ni," tulisnya lagi.
Perkongsian tersebut sehingga kini meraih lebih 2,600 shares di Facebook.
Di ruangan komen, rata-ratanya bersetuju dengan pendekatan wanita berkenaan malah turut berdoa agar pemilik kedai runcit tersebut serta peniaga lain yang terkesan ketika ini dimurahkan rezeki.
Antara pandangan netizen yang turut bersetuju dengan pandangan wanita berkenaan.
"Betul, kalau ada kedai-kedai kampung ni kita patut bantu mereka habiskan stok yang ada sebab dah bayar dulu pun, as long depa tukar lepas tu.
"Betul tu, habiskan dulu yang ada, insya-Allah nanti boleh gantikan dengan yang lebih baik.
"Alhamdulillah setuju... nak boikot pun biar ada ilmu," demikian antara komen netizen.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube