suria

Pengantin perempuan tak muncul, raja sehari naik pelamin seorang diri... Rupanya isteri diserang masalah radang paru-paru

Tular pengantin lelaki bersanding tanpa isteri di sisi.

LULUH hati pasangan ini apabila majlis persandingan mereka tidak terlaksana seperti apa yang dirancangkan.

Segalanya berubah apabila pengantin perempuan, Fatihah Zahra Mohd Hisham, 25, tidak dapat menghadiri majlisnya sendiri baru-baru ini kerana mengalami masalah radang paru-paru.

Sebagaimana diceritakan kepada mStar, Zahra berkata dia terpaksa ditahan di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan tidak dapat pulang ke kampung suaminya di Kedah untuk majlis bertandang mereka.

"Saya ditahan di wad selama lima hari sebelum majlis sebab mengalami radang paru-paru. Ingatkan sempat sihat sebelum hari kejadian.

Pasangan ini menangis kerana tidak dapat bersama-sama meraikan hari bahagia mereka.

"Tapi malam sebelum majlis tu tiba-tiba tahap oksigen saya makin menurun. Saya mengalami kesukaran untuk bernafas.

"Tarikh majlis bertandang tu sudah ditentukan sebelum kami bertunang lagi iaitu pada bulan Jun tahun lepas... jadi terpaksa diteruskan," jelasnya.

Menurut Zahra yang turut berasal dari Kedah, hari persandingan di sebelah pengantin lelaki tidak dapat ditunda pada tarikh lain kerana segala tempahan sudah pun siap tersedia.

Malah, ujarnya yang terkilan dengan apa yang berlaku, dia tidak lagi akan mengadakan majlis bertandang buat kali kedua walaupun sudah keluar daripada hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlampau ikut kata sahabat, pengantin wanita ditinggal pada hari pernikahan

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin biarkan saja air matanya mengalir, tak mampu tahan emosi lihat adik menangis masa jadi wali - “Dah tak boleh manja dengan kakak”

"Majlis tak ditunda sebab hari tu memang berjalan lancar cuma pengantin perempuan saja tak ada. Saya dan suami teruskan saja macam biasa sebab saya dalam keadaan sihat saja sebelum ni.

"Tapi malangnya sehari sebelum majlis tiba-tiba kesihatan makin merosot masa saya dekat hospital. Apabila dah saat akhir ni, tak boleh nak tunda segala persiapan sebab semuanya dah tersedia.

"Pelamin dan khemah dah pasang. Baju pun dah ambil dekat butik dan sudah jemput orang ramai. Jadi nak tak nak terpaksa la teruskan majlis," katanya akur dengan takdir.

Amir hadiri majlis persandingan bersendirian tanpa pasangan di sisi.

Seperti yang dikongsikan Zahra, foto-foto sekitar majlis menunjukkan suaminya Ahmad Al-Amin Ahmad Rais, 25, yang lengkap berpakaian pengantin terpaksa bersanding bersendirian.

Namun, demi mengabadikan momen majlis itu walaupun berjauhan, suaminya membuat panggilan video demi untuk bergambar dengan Zahra yang berada di hospital.

Turut dikongsikan hasil bidikan menunjukkan momen-momen menyedihkan apabila mereka sama-sama mengalirkan air mata kerana tidak lagi mampu menahan sebak mengenangkan apa yang berlaku.

Masa duduk dekat meja makan beradab pun dia menangis seorang diri.

FATIHAH ZAHRA

"Saya rasa serba salah dengan suami sebab tak dapat balik ke Kedah untuk majlis bertandang pihak lelaki. Ini merupakan majlis ketiga kami selepas nikah dan sanding di pihak saya.

"Hari kejadian tu dia buat panggilan video di butik pengantin bersiap seorang diri. Masa tu dia ada cakap yang dia menangis sebab saya tak ada bersama.

"Masa duduk dekat meja makan beradab pun dia menangis seorang diri. Dia tak boleh tengok saya sangat sebab sedih dengan keadaan tengah pakai oksigen untuk bernafas lebih lancar," katanya lagi.

Hantaran dibuat Zahra turut mendapat perhatian netizen yang sedih melihat pasangan pengantin kerana tidak dapat bersama pada hari bahagia mereka.

Bagaimanapun, wanita ini menyatakan rasa syukur apabila dia memilih Amin sebagai pilihan hati selepas enam tahun tempoh perkenalan mereka.

Zahra dan Amin sekitar majlis pernikahan mereka.

Dia juga turut menegaskan bahawa dia tetap bersyukur apabila majlis pernikahannya pada 11 November tahun lalu berlangsung dengan baik sahaja.

"Saya lega apabila suami memahami keadaan saya yang tak mengizinkan kami bersanding sama-sama. Waktu saya sakit ni pun suami tak putus-putus datang hospital setiap hari.

"Waktu siang ibu yang jaga saya di hospital sebab suami saya kerja. Pada waktu petang selepas balik kerja, dia akan terus ke hospital untuk sambung jaga saya," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain