MEMINTA resipi daripada peniaga adalah satu tindakan kurang sopan lebih-lebih lagi jika kita menjual makanan yang sama. Seorang peniaga pencuci mulut yang menggunakan akaun Sha Faz Kitchen di Facebook menerima mesej daripada seorang peniaga lain mendesak untuk diberitahu bahan 'rahsia' digunakan untuk aiskrim Malaysia yang dijualnya. Dalam tangkap layar menunjukkan perbualan Sha dengan individu itu, peniaga wanita tersebut memulakan perbualan dengan bertanya harga aiskrim yang dijual di sekitar Ayer Tawar, Perak. Berdasarkan perbualan itu, dapat dilihat Sha menjawab dengan baik soalan-soalan yang ditanya dan memberitahu dia hanya berniaga pencuci mulut dari rumah sahaja kerana kekangan masa dan stok aiskrim cepat habis. Bagaimanapun jawapan yang diterima daripada wanita itu yang baru sebulan berniaga produk sama kelihatan agak kasar. Tangkap layar perbualan Sha kongsikan di Facebook. "Baguslah jual je dekat rumah. Bukan apa... awak tu duduk Ayer Tawar tak payah letak kawasan lain pun tak apa. "Orang lain nak cari makan juga. Kita ni tak baik tamak," ujar individu berkenaan dalam pesanan dihantar kepada Sha menerusi aplikasi WhatsApp. Selain memberikan peringatan, wanita itu tanpa rasa segan silu meminta pula agar Sha berkongsi resipi dan bahan rahsia sehingga membuatkan aiskrim dijualnya rasa berlemak. “Tapi awak punya sedap gebu, saya pernah makan... saya buat tak rasa macam tu, kongsi la letak apa, tak baik kedekut sebab saya niaga macam awak juga. “Awak letak santan ke rasa lemak tu? Saya nak tahu,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga suka hati buka gerai di laluan awam, kalau tegur dicop ‘dengki’ - “Mula-mula satu, lama-lama jadi medan selera” ARTIKEL BERKAITAN: ”Tak sangka dia ada hati sebegini” - Peniaga dapat ‘surat berpaku’ dari Alor Setar, percaya kenalan rapat punya kerja Tidak melatah dengan sikap peniaga berkenaan, Sha tenang berdepan ‘desakan’ itu dan menyarankan agar dia membuat carian resipi di TikTok atau Google untuk menyedapkan aiskrim. Sha menegaskan dia juga bukanlah seorang yang kedekut ilmu sambil mencadangkan wanita itu menyertai mana-mana kelas masakan secara Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ) untuk belajar membuat aiskrim. "Tak apalah kalau tak bagi. Orang kedekut kalau berniaga tak maju. Melayu macam ni ke? Saya pernah beli awak punya aiskrim hari tu. Saya tak kedekut pun. "Tak payahla kelas (mengajar) pula saya. Tak ada masa dan duit lagi kalau masuk kelas. Menyesal beli aiskrim awak itu hari kalau tahu awak kedekut," katanya kepada Sha. Apa yang lebih mengejutkan apabila wanita itu juga meminta nombor telefon suami Sha untuk bertanyakan sendiri resipi rahsia yang digunakan untuk membuat aiskrim. Tak tahu nak terangkan macam mana sebab saya pun cari rezeki dengan cara sendiri. SHA FAZ PENIAGA AISKRIM Nombor telefon lelaki itu diminta selepas Sha memberitahu dia tidak dapat berkongsi resipi aiskrim kerana perlu mendapat izin suaminya dan bimbang dimarahi. “Cuba bagi nombor telefon laki awak, saya cakap. Boleh ke?” katanya, masih tidak berputus asa untuk mengetahui resipi aiskrim. Disebabkan bermacam tuduhan dan kata-kata kesat dilemparkan terhadapnya, Sha meminta nombor akaun bank wanita itu untuk memulangkan semula duit pembelian aiskrim daripadanya berjumlah RM15. Mengejutkan apabila wanita itu terus memberikan nombor akaunnya tanda setuju wang RM15 dipulangkan. Dalam hantaran Sha yang tular di Facebook, dia mengaku tergamam dengan apa berlaku tetapi masih sudi menawarkan bantuan untuk mempromosikan produk wanita itu jika mereka tinggal berhampiran. "Tak tahu la nak cakap apa. Kepada akak kalau ada dalam senarai rakan, saya minta maaf. "Tak tahu nak terangkan macam mana sebab saya pun cari rezeki dengan cara sendiri. Akak berniaga di mana saya tak pasti. Komen netizen pada hantaran dibuat yang tular. "Kalau berdekatan dengan saya, boleh tolong promote kan. Sekali lagi saya minta maaf," jelasnya dalam hantaran tersebut. Hantaran tersebut turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang bengang dengan sikap wanita berkenaan terhadap Sha. "Dahsyat orang macam ni. Entah apa-apa dia meroyan. Geram baca. "Saya pun peniaga aiskrim juga. Kenapa peniaga ni dengki sangat-sangat. Rezeki masing-masing Allah dah tentukan. "Wah macam tu sekali ye. Kita ni perah otak buat itu ini, kau sedap-sedap nak resipi. Pergilah cari sendiri. Saya pun berniaga tapi tak ada nak tanya banyak-banyak," komen beberapa netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube