suria

Ada sebab lelaki ini masih simpan baju nikah arwah isteri... Tak mungkin lepaskan walau ditawar harga 5 kali ganda

Khairul masih menyimpan baju pengantin yang dipakai arwah isterinya.

SUDAH empat tahun berlalu namun kenangan dan rasa rindu terhadap arwah isteri masih menebal.

Dek kerana itu juga Muhammad Khairul Asyraf Abdullah masih menyimpan baju kurung moden rona putih yang dipakai arwah isterinya, Nor Azilah Mohd Ayub ketika majlis perkahwinan mereka 2 Disember 2018.

Menerusi perbualan bersama mStar, Khairul berkata baju itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi bersama arwah kerana ia dibeli ketika kedudukan kewangannya tidak begitu stabil.

keyrol

Dalam kenangan... Khairul dan Azilah bernikah pada 2 Disember 2018.

"Waktu itu dalam poket saya cuma tinggal RM100 saja, betul-betul untuk duit makan. Dia cakap baju tu cantik kalau pakai di hari pernikahan kami... tapi hanya boleh beli apabila dah ada duit.

"Disebabkan arwah berkenan sangat, nak tak nak saya kena utamakan dia. Saya cakap pergilah cuba pakai. Kalau berkenan ambil la, saya bayarkan.

"Apabila arwah dah dapat apa yang dia nak, nampak rauh wajah dia gembira sangat. Sampai sekarang saya ingat kenangan tu setiap kali tengok baju ni," jelas Khairul kepada mStar.

Sebelum ini mStar pernah berkongsi kisah tragis mengenai arwah isteri Khairul yang meninggal dunia pada usia 20 tahun akibat kemalangan pada 7 Mei 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mulut dia penuh darah” - Sempat berjodoh 5 bulan saja, isteri temui ajal di pangkuan suami... Kisah cinta lelaki ini robek hati netizen

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri 10 hari! Tak banyak kenangan tercipta, tak sempat bulan madu... solat bersama arwah suami jadi memori terindah

Lebih meninggalkan kesan mendalam apabila isterinya pergi buat selamanya ketika usia perkahwinan mereka masih baru iaitu kira-kira lima bulan.

Bercerita lanjut tentang baju kurung milik arwah isteri, lelaki berusia 28 tahun itu berkata dia enggan menyerahkan baju pengantin tersebut kepada sesiapa.

"Memang ada orang minta baju tu, tapi banyak alasan saya bagi. Saya cakap baju tu kecil, kain koyak, sampailah orang tu tak jadi minta. Setiap kali orang minta memang saya berkeras tak bagi.

"Ada yang tanya sama ada saya nak bagi orang lain pakai? Tapi saya beritahu ia tak mungkin kerana ia dibeli untuk arwah dulu. Tak sanggup tengok orang lain pakai baju tu.

Baju ni akan tetap bersama saya, tak akan dibuang... ini mengenai kenangan saya dengan arwah.

MUHAMMAD KHAIRUL ASYRAF

"Saya akan simpan sampai bila-bila. Kalau ada orang nak beli dengan harga lima kali ganda pun saya tak jual. Duit boleh dicari tapi kalau baju tu saya bagi orang, memang tak akan jumpa lagi dah," katanya.

Berkongsi cerita tentang perkembangan hidupnya selepas empat tahun hidup menduda, Khairul berkata dia sudah bertemu jodoh baharu dan mereka sudah mendirikan rumah tangga kira-kira tujuh bulan lalu.

Namun jodoh Khairul dan wanita tersebut terputus di tengah jalan apabila mereka memilih untuk bercerai pada awal Januari atas persetujuan bersama.

Khairul kini kembali bersendirian selepas perkahwinan keduanya putus ditengah jalan.

"Sebelum ni saya berkenalan dengan seseorang dan kami putuskan untuk berkahwin. Tapi nak buat macam mana, jodoh tak panjang. Saya sempat mendirikan rumah tangga sekejap saja dan kami sudah pun bercerai.

"Pada hari perkahwinan kami tu pun dia tak pakai baju arwah. Baju arwah dulu memang kecil. Lebih kurang saiz seorang budak perempuan.

"Apa-apa pun baju ni akan tetap bersama saya dan tak akan dibuang. Ini mengenai kenangan saya dengan arwah. Saya yang belikan untuk dia, kenangan tu tetap ada," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain