suria

Anak rasa faraid tak adil! Adik meninggal, bapa lama menghilang muncul tuntut harta... Dah bolot semua, ‘lesap’ sekali lagi

Bapa merupakan pewaris kepada anak yang meninggal dunia. -Gambar hiasan

PEMBAHAGIAN harta pusaka sering menjadi isu utama dalam sesebuah keluarga sehingga ada yang mempertikaikan nisbah faraid yang telah ditetapkan syarak.

Situasi sama turut berlaku dalam keluarga anak muda ini selepas adiknya meninggal dunia.

Bukan sekadar mempertikaikan bahagian yang ditetapkan, malah dia berharap bapanya tidak mewarisi sebarang harta peninggalan dirinya sendiri mahupun adik-adik yang lain.

Meluahkan isi hati di laman Facebook, ujarnya, tindakan tersebut sebagai balasan terhadap bapanya yang telah mengabaikan mereka sekeluarga sejak kecil.

Ayah dan ibu merupakan pewaris kepada anak yang belum berkahwin. -Gambar hiasan

Ayah dan ibu merupakan pewaris kepada anak yang belum berkahwin. -Gambar hiasan

Menurutnya, sejak kedua-dua orang tuanya berpisah, dia dan adik-adik dibesarkan oleh ibunya seorang diri serta hidup dalam kesusahan.

"Saya mewakili adik-adik, bolehkah anak-anak kecualikan nama ayah daripada penerima faraid?

"Dia dah berpisah dengan mak sejak kami sekolah lagi. Hanya mak yang menanggung kami dengan hasil buat kuih," luah lelaki ini.

Katanya, sepanjang tempoh membesar bersama adik-adik, dia tidak pernah melihat bayang bapanya sehingga menyifatkan lelaki tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa ‘pergi’ tak tinggal harta, 6 beradik tak serabut fikir faraid! Kereta jual masa sakit, yang ada cuma baju-baju bundle RM5

ARTIKEL BERKAITAN: Faraid dah selesai agih, lelaki rimas kakak ipar masih minta duit selepas arwah abang meninggal

Bagaimanapun bapanya hanya 'muncul' selepas salah seorang adiknya meninggal dunia tiga tahun lalu.

Kehadiran tersebut adalah untuk menuntut 'hak' sebagai pewaris arwah adiknya.

"Adik saya meninggal dunia. Duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan insurans banyak dapat kat ayah manakala mak dapat suku je tak sampai 20K (RM20,000)," katanya.

Melihat situasi ini, dia berpandangan pemberian tersebut tidak adil kerana hanya ibunya sahaja yang membanting tulang membesarkan mereka adik beradik.

Sepatutnya apabila dia minta faraid tu, anak-anak minta dulu nafkah yang tak ditunaikan. Tengok dia boleh bagi tak.

WARGA MAYA

Tambahan pula, ibunya juga yang bersusah payah sepanjang tempoh adiknya sakit sehinggalah menghembuskan nafas yang terakhir.

"Tiba-tiba ayah datang tuntut... jadi kami kesian pada mak sebab kami bukanlah orang senang sebab tu kalau boleh nak harta kami ni diberikan kepada mak atau isteri serta anak kami sahaja," tambahnya sayu.

Bukan itu sahaja, bapanya telah menyekat panggilan telefon serta 'menghilangkan diri' selepas mendapat harta arwah adiknya.

Luahannya itu mendapat perhatian warga maya yang geram dengan sikap bapanya membolot harta arwah adik tanpa rasa bersalah.

Warga maya menyarankan supaya dia menuntut nafkah tertunggak.

Warga maya menyarankan supaya dia menuntut nafkah tertunggak.

Meskipun bersimpati dengan nasibnya sekeluarga, namun warga maya menyatakan ia adalah hak yang telah ditetapkan hukum syarak.

Bagaimanapun, mereka memintanya supaya memfailkan beberapa tuntutan seperti nafkah tertunggak.

"Apa yang ayah tu buat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang syariah dan dia memang berhak. Untuk itu, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan berbincang dengan mak dan adik-beradik yang lain untuk buat tuntutan nafkah tertunggak.

"Duit faraid nak. Nafkah buat-buat lupa, tuntut balik nafkah bertahun-tahun tak bagi tu baru setel faraid.

"Itu hak dia, dia baik atau jahat memang hak dia... tak boleh nafi.

"Sepatutnya apabila dia minta faraid tu, anak-anak minta dulu nafkah yang tak ditunaikan. Tengok dia boleh bagi tak," ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain