suria

Masa kecil tengok suami bersanding, 11 tahun kemudian wanita ini nikahi lelaki sama... Beza usia 38 tahun!

Perkongsian wanita ini mencetuskan banyak tanda tanya.

BENARLAH jodoh itu rahsia Allah, kita tidak tahu bila dan dengan siapa akan disatukan.

Tular di media sosial tentang seorang wanita bernama Renata Fadhea yang berkongsi sekeping foto lama ketika dia masih kecil saat menghadiri majlis pernikahan seorang lelaki pada 2009.

Foto itu pada mulanya kelihatan biasa namun ia mengundang tanda tanya apabila dia turut berkongsi sekeping lagi gambar menunjukkan wanita bersama lelaki sambil mendukung seorang bayi.

Enggan membiarkan netizen terus berteka-teki, wanita tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik video yang meraih lebih 6.8 juta jumlah tontonan di TikTok itu.

Ratena berjumpa semula lelaki yang kini suaminya pada 2019.

Jelas Renata, kanak-kanak perempuan pada foto pertama dan wanita dalam gambar kedua ialah orang yang sama iaitu dirinya sendiri.

Ini bermaksud, kini dia sudah bernikah dengan lelaki yang sama dalam kedua-dua gambar berkenaan.

Difahamkan perbezaan usia dia dan suaminya adalah 38 tahun.

"Saya nak buat penjelasan mengenai video itu. Ramai yang salah faham, ada yang tanya (gambar lelaki) itu adakah ayah, jiran atau pakcik.

"Jadi dekat sini saya nak jelaskan yang dalam gambar pertama tu, saya datang ke majlis pernikahan kedua dia (suami).

"Sebenarnya suami saya merupakan saudara jauh, dia anak saudara kepada makcik saya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku nampak dia undress, terus ubah niat” - Lelaki kahwin ‘cina buta’ lupa kontrak dengan kawan baik, serba salah dengan isteri pertama

ARTIKEL BERKAITAN: Dating 2 hari dengan ketua pramugara, terus diajak kahwin! Dulu sering beri 'Token of Love' untuk kru di awan biru

Bercerita lanjut, Ratena berkata dia tidak pernah mengenali secara dekat atau berhubung dengan lelaki yang kini suaminya sebelum mereka berjumpa semula pada 2019.

Malah, dia tidak mengetahui mengenai kewujudan gambar tersebut sebelum berkahwin pada 2020.

Setahun selepas berkahwin iaitu pada 2021, mereka dikurniakan seorang anak.

"Kami bertemu bukan sebab keluarga. Pada mulanya kami tak tahu. Kami berjumpa di salah satu acara di mana suami saya jadi tetamu masa tu.

"Gambar itu saya baru tengok pada 2019 masa tengah tengok album pernikahan kedua suami. Ternyata suami saya ada gambar tahun 2009 itu," jelasnya.

Umur saya sembilan tahun masa tu... jadi saya bukan perampas suami orang.

RATENA

Dalam pada itu, Renata menjelaskan bahawa dia bukanlah seorang wanita yang suka berebut atau perampas suami orang.

Sebagaimana dijelaskan, hubungan mereka terjalin selepas suaminya sudah pun berpisah dengan isteri keduanya pada 2011.

"Umur saya sembilan tahun masa tu jadi saya bukan perampas suami orang.

"Ada yang tanya sekarang isteri dia pergi mana? Mereka sudah berpisah sebelum kami berjumpa.

"Menerusi pernikahan kedua tu, dia tak ada anak. Pada perkahwinan pertama, suami ada anak dan Alhamdulillah semua anaknya baik," katanya lagi.

Pasangan ini dikurniakan cahaya mata pada 2021.

Jika diteliti corak penulisan menerusi penjelasan yang dibuat, wanita ini dipercayai merupakan seorang warga Indonesia.

Bagaimanapun hantaran tersebut mendapat perhatian warga maya di Malaysia kerana turut terkeliru dengan gambar yang dimuat naik.

"Sakit kepala sebelah. Saya swipe (selak gambar) sampai habis lepas tu tolak semula.

"Ku mohon penjelasan. Tak boleh tidur ni apa ni," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain