SIAPA sangka niat mahu mendengar azan Maghrib untuk berbuka puasa akhirnya membawa kepada penemuan seorang kanak-kanak perempuan terperangkap di dalam sebuah bas sekolah di Johor Bahru, Johor. Menurut Ahmad Syafiee Shah, ketika kejadian kira-kira pukul 7.15 petang Rabu itu dia dan anak perempuannya yang berusia tiga tahun sedang menunggu di luar pintu pagar rumah untuk mendengar azan Maghrib. Berkongsi cerita kepada mStar, Syafiee berkata dia pada mulanya terdengar suara jeritan budak namun tidak pasti ia datang dari arah mana. Beg sekolah dan botol air milik murid perempuan yang diselamatkan Ahmad Syafiee. “Masa tu pukul 7.15 petang, tengah duduk tu saya dengar jeritan budak. Saya sangkakan itu jeritan jiran dari apartmen yang berhadapan rumah teres saya ni. “Tapi makin lama makin kuat sehingga saya fokus pada bas yang parkir berdepan rumah saya. Apabila saya menjengah bas tersebut, saya terkejut nampak bayangan budak lingkungan usia anak sulung. “Dia menjerit dan menangis meminta pertolongan hendak keluar dari bas,” katanya Syafiee ketika dihubungi mStar. Tanpa melengahkan masa, lelaki berusia 33 tahun itu berkata, dia mencari cara untuk menghubungi pemandu atau pemilik bas namun malangnya nombor telefon tidak tertera pada kenderaan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Pintu lif terbuka, anak terus menangis... Ibu cepat-cepat tutup, terkejut sampai ke aras kosong - “Tak tahu apa yang dia nampak” ARTIKEL BERKAITAN: Terperangkap lebih 5 hari, budak ditemui dalam kontena akan dihantar pulang Dalam keadaan cemas sambil menggendong anak kecil, dia yang mesra disapa Piee cuba menyelamatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun berkenaan. “Saya cuba buka pintu bas tapi berkunci. Saya panggil isteri untuk mengambil anak kecil kami dan saya kembali pada bas untuk cuba buka sliding window yang tidak terkunci. “Ternyata ada satu sisi tingkap tempat duduk kedua terakhir boleh dibuka. Saya meminta budak tersebut campak beg, kasut dan botol airnya untuk memudahkan proses dia keluar dari sisi tingkap yang kecil itu. “Dengan badannya yang kecil, Alhamdulillah dia dapat melepasi tingkap bas tersebut. Saya beri semangat pada budak tersebut untuk perlahan-perlahan turunkan kaki pada tangan saya di sisi tingkap untuk mudah saya capai sebab saya tidak terlalu tinggi,” ujarnya. Bas sekolah yang dinaiki murid berkenaan. Menurut Syafiee lagi, kanak-kanak perempuan itu dapat melompat keluar dan dia menyambutnya agar tiada kecederaan pada badannya. Bapa kepada dua anak itu kemudian menghubungi nombor telefon penjaga yang tertera pada tag nama murid berkenaan. SOP untuk periksa tempat duduk bas atau van sekolah perlu diperketatkan demi mengelakkan sebarang kecuaian yang melibatkan nyawa tidak berdosa. AHMAD SYAFIEE SHAH “Sebaik dapat call, terdengar suara sayu dan sedih seorang ibu yang kehilangan anaknya. Kalau diikutkan waktu balik sekolah pada sesi petang Tahun Satu untuk bulan Ramadan diawalkan pada pukul 5.30 petang. “Saya jemput kanak-kanak itu untuk berehat dan berbuka di rumah kerana keadaannya yang masih trauma dan takut. Keadaan dia memang penat dan pucat sebab cemas bercampur dengan keadaan cuaca pada hari itu di Johor Bahru memang sangat terik. “Syukur selamat... rezeki adik ni dapat berbuka lauk ayam butter,” katanya lagi. Ahmad Syafiee bersama isteri dan anak-anak. Bersyukur dapat menyelamatkan murid itu hingga dia pulang ke pangkuan ibunya, Syafiee yang bekerja sendiri dengan menyediakan servis telefon bimbit memberitahu sekolah dan rumah kanak-kanak berkenaan bukan di kawasan perumahannya. Sebagai bapa, dia mengakui sedih dengan prosedur operasi standard (SOP) pemandu bas yang longgar kerana tidak membuat pemeriksaan pada setiap tempat duduk penumpang sebelum menghentikan servis penghantaran. “Anggaran rumah kanak-kanak itu dengan rumah saya kira-kira 10 kilometer (km). Menurut ibunya, dia sudah menghubungi pemandu bas tetapi dimaklumkan bahawa anaknya tidak menaiki bas tersebut. “Kanak-kanak ini sebenarnya tertidur di dalam bas tanpa disedari pemandu yang telah menghentikan servis penghantaran budak sekolah pada hari itu. “Saya juga seperti insan lain yang mempunyai anak, lagi-lagi anak perempuan. Saya berharap SOP untuk periksa tempat duduk bas atau van sekolah perlu diperketatkan demi mengelakkan sebarang kecuaian yang melibatkan nyawa tidak berdosa,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube