suria

Budak perempuan gigih buka pintu kaca nak bagi abang rider makanan rupanya dah 2 tahun buat kerja amal

Aulia antara sukarelawan yang sering mengagihkan makanan kepada orang ramai.

GELAGAT seorang kanak-kanak perempuan berusaha sedaya upaya untuk membuka pintu sebuah kedai serbaneka tular di media sosial.

Menurut Siti Nor Fazilah, video tersebut dirakam sewaktu kanak-kanak bertudung merah jambu bernama Aulia itu sedang membantunya mengagihkan sumbangan kepada orang ramai.

Bercerita kepada mStar, Fazilah berkata ketika itu Aulia mahu memberi makanan kepada seorang rider p-Hailing.

"Adik tudung pink tu adalah 'sukarelawan' cilik saya. Anak-anak lain serta pelajar-pelajar madrasah juga bergilir-gilir membantu saya dan ahli persatuan lain untuk laksanakan infaq ni.

"Selalunya mereka akan membantu agihan infaq ni bersama adik-beradiknya yang lain. Namun Aulia yang selalu volunteer untuk beri makanan tersebut ke tangan penerima.

Aulia bersama Fazilah ketika memberikan makanan percuma kepada orang ramai.

"Biasanya Aulia akan minta izin ibunya dahulu untuk ikut kami laksanakan Infaq Jumaat. Jika mendapat kebenaran, kami akan bawa mereka semua untuk sama-sama laksanakan aktiviti ini," ujarnya.

Jelas Fazilah, tugasan mengagih makanan berjalan lebih lancar dengan adanya bantuan kanak-kanak seperti Aulia yang kini berusia enam tahun dan rakan-rakan lain.

Apa yang lebih membanggakan, Aulia merupakan antara sukarelawan yang mengikuti program Infaq Jumaat di bawah badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Antarabangsa al-Ain Malaysia sejak si cilik itu berusia empat tahun.

Katanya lagi, program yang digerakkan sejak hampir lima tahun lalu ini sedikit sebanyak membantu mendidik mereka menjadi seseorang yang pemurah dalam menghulurkan bantuan pada usia muda.

"Tugas diberikan kepada mereka adalah berbeza. Ada yang membungkus makanan, memberi agihan, bantu mencari sasaran yang akan diagihkan. Jadi dengan memberi tugasan, perjalanan infaq kami berjalan lebih lancar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Masa saya hulur, mereka doakan kita depan-depan” - Tak kisah berpanas, perunding kecantikan agih makanan buat rider... harap Covid-19 berakhir

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih agih sayur percuma, 2 lelaki ini berbakti cara mereka ketika PKP - “Terima kasih membantu, ramai yang takut nak keluar”

"Seawal hari Isnin mereka akan ingatkan dan tanya minggu ni ada Infaq Jumaat tak? Ketika agihan makanan, merekalah orang paling semangat untuk cari golongan pakcik dan makcik yang memerlukan.

"Tapi untuk Infaq Jumaat, sasaran kami adalah pekerja-pekerja jalanan seperti tukang cuci, pegawai keselamatan, tukang buat rumah dan juga runner. Tapi kami tidak hadkan kepada sesiapa, kerana niat utama kami dan para penyumbang adalah menggembirakan orang ramai di hari Jumaat," jelasnya.

Bercerita lanjut, organisasi yang memperkenalkan Infaq Jumaat ini ditubuhkan pada 2020 diasaskan oleh arwah Ummi Rusnah yang meninggal dunia pada 7 Julai 2021.

Paling membuatkan saya terharu apabila kami melihat sendiri mereka bersemangat dalam kerja-kerja kebajikan ini.

SITI NOR FAZILAH

Ketika awal penubuhan, Fazilah dan ahli pasukannya hanya mengagihkan nasi lemak dan teh o' ais untuk diberikan kepada barisan hadapan badan beruniform yang bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebenarnya kami team NGO, projek Infaq Jumaat ni kita buat bermula dari PKP 2020 agih nasi lemak, air je setiap kali agihan. Kemudian, sikit-sikit kami tukar menu makanan yang kami suka dan sedap kami order dan bagi pada orang ramai.

"Sekarang kami sudah luaskan kawasan agihan luar negara iaitu di Yaman secara serentak. Kebiasaannya, kami akan jalankan bersama-sama dengan team dan sukarelawan yang berkelapangan pada minggu tersebut.

"Infaq Jumaat ini juga dijalankan di Terengganu, Johor Bahru, Maran dan Kuantan di Pahang oleh sukarelawan kami. Di Malaysia kami fokuskan agihan infaq di rumah PPR (Program Perumahan Rakyat), pekerja-pekerja jalanan serta pegawai keselamatan yang bertugas," jelasnya.

Dia yang berasal dari Kedah berkata, mengimbau segala kenangan manis sepanjang pertubuhan ini ditubuhkan membuatkan dia lebih bersemangat untuk meneruskannya sehingga kini.

Antara sukarelawan yang mengikuti program infaq.

Dalam pada itu, dia berharap agar lebih ramai yang menjadikan video tular tersebut sebagai inspirasi kepada orang sekeliling untuk dijadikan contoh dan ikutan.

"Pengalaman manis sewaktu anak-anak ini membuat agihan sebenarnya banyak perkara terjadi... tapi paling membuatkan saya terharu apabila kami melihat sendiri mereka bersemangat dalam kerja-kerja kebajikan ini.

"Saya terharu dengan perkembangan kami. Bermula hanya dengan modal makanan RM1 kami bungkuskan sendiri, sekarang kami mampu memberikan satu set makanan yang berharga hampir RM20 kepada penerima. Waktu itu, senyuman paling lebar kami pernah terima daripada mereka.

"Harapan saya adalah agar kami dapat melaksanakan Infaq Jumaat ini secara berterusan. Bukan setakat di Malaysia, tetapi kami juga ingin usahakan di negara-negara miskin yang sangat memerlukan," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain