SETIAP yang hidup pasti akan berakhir dengan kematian. Namun sebagai manusia kita tidak tahu bagaimanapun pengakhiran hidup kita nanti. Bagi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah, mereka menyaksikan banyak kematian yang meruntun jiwa. Antara yang menginsafkan ialah tugasan menguruskan rangka dan tengkorak mayat. "SPJM diamanahkan untuk menguruskan dua rangka manusia yang tidak dituntut dan diklasifikasikan mayat tanpa identiti di sebuah hospital. "Ramai yang tidak tahu bahawa proses pereputan mayat lebih mudah dan cepat berlaku di atas permukaan tanah berbanding mayat yang ditanam dalam tanah (dikebumikan)," demikian tulis Pengarah Eksekutif SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid di Facebook. Van membawa jenazah untuk urusan pengebumian. -Gambar hiasan Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, pengurusan dua rangka manusia yang dilakukan skuadnya itu mengingatkannya kepada satu peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan, beberapa tahun lalu. Menurutnya, terdapat satu rangka manusia lengkap berpakaian ditemukan di tepi jalan besar yang merupakan laluan utama di sebuah bandar di Lembah Klang. "Lebih menyedihkan apabila keluarga si mati yang saya temui memaklumkan bahawa arwah hilang sejak petang 1 Ramadan dan tidak dijumpai. "Sehinggalah penemuan rangka mayatnya pada pagi 11 Ramadan iaitu kira-kira 10 hari setelah kehilangannya dilaporkan... Subhanallah," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: “Tolong keluarkan anak saya!” – Ibu merayu di tanah perkuburan, tak sanggup tengok ‘jenazah’ masuk liang lahad ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz gadai harta, buntu cari dana selamatkan NGO urus jenazah dan madrasah - “Sungguh, ujian kewangan kali ini sangat berat” Mengulas mengenai perkara itu, Ustaz Rafie berkata proses pereputan berlaku dengan begitu cepat di atas permukaan tanah kerana beberapa faktor, antaranya cuaca yang tidak menentu seperti panas dan lembab. Selain faktor cuaca, jelasnya terdapat kemungkinan mayat itu juga telah 'dijamah' oleh beberapa haiwan liar yang berkeliaran, termasuk serangga seperti lalat dan langau yang lebih mudah untuk membiak dan mempercepatkan proses pereputan mayat. Persiapan untuk menguruskan jenazah. -Gambar hiasan SPJM Walaupun jasad yang diuruskan hanya tinggal rangka dan tulang berselerakan, beliau berkata ia tidak menafikan hak si mati untuk diuruskan dengan sempurna. Bagi kaedah pengurusan jenazah Islam, jelasnya, empat rukun masih wajib dilaksanakan iaitu mandi, kafan, solat dan dikebumikan. Kaedah ini mengelakkan kesan trauma yang dahsyat kepada pihak warisnya yang tidak mengetahui atau melihat keadaan sebenar jasad si mati. MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID PENGERUSI EKSEKUTIF SKUAD PENGURUSAN JENAZAH MALAYSIA (SPJM) "Bagi proses membersihkan (mandi) rangka mayat, ia perlu dilakukan dengan berhati-hati. Hanya perlu melakukan air dengan campuran wangian bidara, kapur barus dan cendana ke semua bahagian yang boleh dicapai. "Setelah itu, rangka mayat disusun mengikut aturan tubuh badan manusia normal bermula dari tengkorak, rusuk, lengan, tulang belakang, hingga ke tulang kaki rangka mayat berkenaan "Susunan rangka dan tulang tersebut dilakukan di atas tiga helai kain kafan dan diselitkan juga dengan hamparan sehelai plastik besar. Ia bagi mengelakkan kain kafan tersebut kotor atau dicemari najis daripada darah dan organ yang tersisa. "Kemudian rangka dan tulang berkenaan akan ditutup dengan kapas gulung dalam jumlah yang sesuai di atas jasadnya. Ia bertujuan supaya badan mayat kelihatan seolah-olah masih sempurna dan lengkap sebelum ditutup kain kafannya," katanya. Ustaz Rafie mengimbas kembali peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan. Tambah Ustaz Rafie, setelah proses kafan selesai sehelai kain batik lepas akan dihamparkan di atas jenazah dan dibalut dengan kemas agar orang yang menziarahinya tidak melihat aib si mati. "Maka dengan kaedah ini, secara tak langsung mengelakkan kesan trauma yang dahsyat kepada pihak warisnya yang tidak mengetahui atau melihat keadaan sebenar jasad si mati. "Mereka hanya akan melihat sekujur tubuh yang siap dikafankan dan berbau wangi berbanding keadaan asal mayat yang pasti sukar untuk waris menerima takdirnya. "Begitulah kaedah yang harus dilakukan setiap pengurus jenazah. Kita perlu memastikan setiap jenazah aibnya ditutup rapat dan perlulah menjaga emosi ahli waris si mati," katanya. Untuk rekod, dilaporkan hampir 400 mayat tidak dituntut di hospital kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lembah Klang pada setiap tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube