LEGA hati seorang anak apabila hasrat hati bapanya untuk manikmati hidangan ikan goreng dapat ditunaikan. Namun, wanita itu sama sekali tidak menyangka ikan goreng air tangannya itu merupakan makanan terakhir sebelum bapanya pergi buat selama-lamanya. Cerita wanita yang menggunakan akaun Mommy Jebat di TikTok, pada hari berkenaan dia sedaya-upaya memenuhi permintaan bapanya memandangkan sebelum itu arwah sudah seminggu hilang selera makan. "Hari terakhir tu abah memang tak sihat. Seminggu abah sakit dan kurang makan. Dia kerap sakit dalam perut. Foto ikan goreng yang dikongsikan Mommy Jebat. "Pagi hari terakhir tu dia cakap... dik abah teringin nak makan ikan goreng, beli ikan dik. Masa tu memang nak cepat sebab ada temu janji hospital pagi tu. "Tapi pergi juga beli ikan sebelum pergi hospital. Sampai depan pintu rumah, abah kata tinggal je ikan tu depan situ nanti abah bawa masuk. Muka abah masa tu memang tak sihat," ujarnya mengimbas kejadian pada hari berkenaan. Tambah wanita itu lagi, selepas urusannya di hospital selesai, dia segera pulang ke rumah untuk menyediakan hidangan untuk bapanya. ARTIKEL BERKAITAN: Kutip rambut gugur ketika mandikan mayat ibu, gadis simpan baik-baik dalam dompet... Ramai pula tegur isu aurat arwah ARTIKEL BERKAITAN: Gadis kongsi kisah di sebalik tiket bas lama, ralat lambat pulang jenguk di hospital... Hanya mampu cium sekujur tubuh kaku abah "Dah siap buat pemeriksaan, balik rumah. Saya tanya abah ikan tu nak masak apa? Dia jawab perlahan je... abah nak ikan goreng, lepas tu masak la apa-apa. "Saya jawab orang masak nasi goreng makan dengan ikan goreng ya... dia iya kan je. "Masa makan semeja dengan abah berdua, dia makan perlahan je. Saya perhati je dia makan. Saya tanya sama ada dia nak tambah. Dia jawab tak, abah nak ikan goreng ni je, puas dapat makan," ujarnya. Sejak hari itu, wanita tersebut berkata dia tidak lagi 'menyentuh' nasi goreng dan ikan kerana terlalu rindukan arwah bapa. Masa makan semeja dengan abah berdua, dia makan perlahan je... puas dapat makan. MOMMY JEBAT Difahamkan kini sudah lebih lima tahun kejadian itu berlaku. "Lepas hari itu dia sudah tak ada makan apa-apa sampai la pagi keesokan harinya dia meninggal dunia. Setahun lebih saya tak makan nasi. Nasi goreng dan ikan. Saya tengok nasi goreng dan ikan... saya menangis. "Berat badan saya turun mendadak. Saya anak yang terakhir dengan dia, dua minggu sebelum dia 'pergi'. Semua urusan kematian dia saya urus seorang diri sebab masa tu famili saya di luar kawasan. "Sijil kematian pun nama saya digunakan sebagai waris. Lima tahun sudah abah pergi. Saya masih lagi rasa abah pergi kursus dan ternanti-nanti dia balik," jelasnya. Komen netizen di TikTok. Perkongsian dibuat wanita ini meraih perhatian warga maya yang turut bersimpati dengan kisah tersebut. "Sebaknya, giliran saya pula nanti tak tahu macam mana. "Saya pun anggap mak pergi Makkah tapi tak balik je lagi. "Al-Fatihah buat abah awak. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa arwah dan masukkan dia ke dalam syurga," komen netizen di TikTok. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube