suria

Baru kahwin, isteri ketua pramugara sejuk hati dipujuk suami kena kerja di Aidilfitri - “I pergi kejap je...”

Wani membuat persiapan untuk suami yang bertugas di Hari Raya.

ANTARA momen manis pasangan sudah berkahwin ketika Aidilfitri bila mana isteri membantu suami membutangkan baju Melayu dan membetulkan songkok.

Berbeza bagi pengantin yang baru berahwin ini, dia perlu memasangkan pin dan tanda nama (name tag) pada pakaian seragam suami pada pagi 1 Syawal.

Nor Alwani Abdul Wahab tenang berdepan situasi apabila suaminya, Imran Hamid A Manaf yang merupakan ketua pramugara perlu bertugas di awan biru pada Aidilfitri kali ini.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2023.

Mesra disapa Wani, dia yang mendirikan rumah tangga pada 11 Disember tahun lalu mengakui teruja apabila mendapat jadual tugas suami kerana mahu melihat sama dia bekerja atau bercuti pada Hari Raya.

“Perasaan saya bercampur-baur apabila tengok jadualnya perlu bekerja pada Hari Raya. Tapi saya sedapkan hati, ini yang saya pilih dan perlu reda.

“Ramai lagi yang senasib macam saya dan mungkin ada yang perlu lebih berkorban daripada saya macam mereka yang bersuamikan anggota pasukan keselamatan dan pasukan perubatan yang juga perlu bekerja di pagi lebaran.

“Sekurang-kurangnya suami saya tetap balik juga beraya pada hari yang sama dan meraikan lebaran bersama-sama,” katanya kepada mStar.

Wani bersyukur dengan jodoh yang diberikan kepadanya.

Bercerita lanjut mengenai suasana di pagi raya, wanita berusia 40 tahun itu berkata dia tetap membuat persiapan untuk suami pergi bekerja.

“Mungkin ada isteri yang lain di pagi raya pun buat perkara sama jika suami mereka perlu bekerja. Mungkin sibuk saya berbeza sikit kerana saya perlu pastikan suami completely siap ke tempat kerja pagi-pagi sebelum Subuh dan kena siapkan anak-anak selepas itu untuk solat raya.

“Pagi raya saya akan pakaikan pin dan name tag di dadanya sebagai ganti butang baju Melayu dan samping yang biasa isteri pakaikan untuk suami masing-masing. Semestinya satu excitement yang baharu untuk saya,” ujar anak kelahiran Kelantan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dating 2 hari dengan ketua pramugara, terus diajak kahwin! Dulu sering beri 'Token of Love' untuk kru di awan biru

ARTIKEL BERKAITAN: Satu tweet cari jodoh pada 2022, pemuda terus raya berdua tahun ini! ‘Lulus mudah’ sebab tepati 3 ciri ditetapkan isteri

Menurut Wani, sebelum berkahwin, dia merupakan individu terawal mengambil cuti dan terakhir kembali ke pejabat setiap kali sambutan Aidilfitri.

Wani (dua, kanan) beraya bersama keluarga.

Namun berbeza kali ini apabila dia menjadi individu terakhir yang akan meninggalkan pejabat dan terawal kembali bekerja kerana tuntutan tugas suami.

“Tahun ni kami beraya di kampung sebelah suami dulu di Petaling Jaya, Selangor. Dua minggu selepas raya, kami beraya di sebelah saya pula di Kelantan. Kami akan balik ke Kota Bharu, kampung ayah dan juga ke Pattani, Thailand untuk beraya bersama-sama keluarga sebelah ibu.

“Raya tahun ni lain sikit sebab kami balik kampung menggunakan pengangkutan awam. Teruja sebab naik kereta api, menghabiskan masa berkualiti bersama sepanjang perjalanan ke Kota Bharu,” tambah penjawat awam itu.

Saya bukan hanya berkahwin dengan orangnya, tapi juga berkahwin dengan kerjayanya dan keluarganya.

NOR ALWANI ABDUL WAHAB

Untuk rekod, kisah Wani pernah disiarkan di mStar pada Disember 2023 mengenai jodohnya dengan kru kabin yang dilamar selepas dua hari bertemu buat pertama kali.

Bagi Wani, dia seharusnya reda dengan apa pun pekerjaan suami kerana itu yang dipilihnya dan menghargai setiap momen yang mereka ada.

“Saya bukan hanya berkahwin dengan orangnya, tapi juga berkahwin dengan kerjayanya dan keluarganya. Jadi, saya terima dengan berlapang dada kerana rezeki dan jodoh Allah yang berikan,” katanya sambil menambah tart nenas dan mazola merupakan kuih raya kegemaran suaminya.

Pasangan ini menghargai setiap momen bersama.

Berkongsi momen di pagi raya, Wani yang membuat persiapan baju raya lebih awal dengan warna tema mint green turut berkongsi perbualan mereka mengenai kedatangan 1 Syawal.

“Suami berpesan ‘I pergi kejap je kerja. Petang tu I balik, kita raya sama-sama ya? Sekurang-kurangnya I tak bermalam mana-mana, kan?’ Itulah ayat dia nak pujuk sikit hati ni. Saya okay je selagi anak-anak beraya bersama-sama kami.

“Saya beritahu suami ‘Walaupun lebaran pertama sebagai suami isteri ini, jangan sedih di pagi raya kita tak dapat solat dan raya sama-sama. You pergi atas tuntutan tugas. Semoga perjalanan pergi dan balik bagi mencari nafkah dipermudah dan diberkati’,” katanya, merujuk pada anak-anak suaminya dari perkahwinan sebelum ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain