suria

Raya anak Kelantan! Pelajar UiTM raih jualan RM180,000 anggap Aidilfitri di kampung tak sama di tempat lain

Amzar berkongsi pengalaman beraya di Kelantan.

PERNAH meraih jualan RM180,000 untuk satu rekaan baju, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah ini juga seperti umat Islam lain yang teruja menyambut Aidilfitri.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, pada 2024 usahawan muda, Ahmed Amzar Airil Ahmed Mazdan beraya bersama keluarga di kampung di Kelantan.

Mesra disapa Amzar, jejaka ini berpandangan, suasana lebaran di negeri Cik Siti Wan Kembang mempunyai keunikannya tersendiri berbanding di tempat-tempat lain.

Amzar segak berbaju Melayu warna 'brick orange'.

"Bagi saya setiap kali Syawal, the real vibe raya yang kami akan dapat adalah suasana di kampung adalah sangat berbeza di bandar.

"Orang-orang kampung yang sangat mesra sesama mereka. Di Kelantan juga dipenuhi rakyat yang sentiasa sokong antara satu sama lain.

"Lihat uptown di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu. Betapa ramai orang akan serbu uptown untuk membeli barangan raya masing-masing atau berkunjung ke situ walaupun hanya inginkan suasana meriah," katanya kepada mStar.

Keterujaan turut dirasai pemuda berusia 22 tahun itu apabila baju raya warna tema brick orange menjadi perhatian ramai untuk Aidilfitri kali ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UiTM Kedah bikin gempak, anjur pertunjukan fesyen peraga koleksi 2024... Baju laku keras, raih jualan RM180,000!

ARTIKEL BERKAITAN: Geng pelajar ‘otak bisnes’ ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

Mengimbas kembali, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa itu merindui momen berjumpa dengan semua ahli keluarga di pagi raya.

"Masa tu semua berkongsi cerita tentang kehidupan masing-masing di luar memandangkan kebanyakan keluarga bekerja di luar Kelantan dan dapat bertemu secara beramai-ramai pada Hari Raya," ujar anak kelahiran Bachok itu.

Amzar kini menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di Kota Bharu.

Bagaimanapun bagi Amzar, tahun ini sedikit suram baginya kerana baru kehilangan nenek di sebelah bapanya, yang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan usus, pada akhir Januari lalu.

"Mungkin suasana raya sedikit berubah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Biasanya arwah nenek akan bersemangat beri duit raya kepada cucu-cucu.

Semua berkongsi cerita tentang kehidupan masing-masing memandangkan kebanyakan keluarga bekerja di luar Kelantan.

AHMED AMZAR AIRIL AHMED MAZDAN

"Kalau dulu bertemu nenek di rumah di pagi raya, tahun ni mungkin hanya sampaikan salam dan doa di kubur sahaja," ujar Amzar yang menetap di Kota Bharu.

Untuk rekod, kisah Amzar pernah disiarkan di mStar pada Disember lalu, apabila pemuda ini bersama rakan-rakannya menganjurkan pertunjukan fesyen di UiTM Kedah bagi memperagakan koleksi baharu 2024.

Berkunjung ke rumah saudara-mara dan kawan-kawan merupakan aktiviti Amzar pada hari lebaran.

Mengenai menu di hari lebaran, anak kedua daripada tiga beradik ini yang pulang ke Kampung di Bachok semestinya menantikan lemang dan rendang ayam.

"Bukan sahaja juadah raya, malah aktiviti bermain bunga api bersama sepupu-sepupu yang masih kecil.

"Sudah menjadi kewajipan untuk pulang ke kampung pada Hari Raya sebelum beraya di rumah saudara-mara lain dan kawan-kawan," katanya sambil menambah keluarganya akan mengadakan rumah terbuka secara kecil-kecilan pada hari raya kedua.

Dalam perkembangan lain, Amzar yang merupakan pengasas jenama baju Axisto kini menjalani latihan amali di sebuah syarikat di Kota Bharu.

Selain permintaan terhadap baju yang semakin meningkat termasuk daripada universiti-universiti lain, pemuda ini turut menerima Anugerah 'Aspiring Entrepreneur' daripada UiTM Kedah sempena Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Mahasiswa (Makma), awal tahun ini.

Amzar (kanan) bersama rakan-rakan pada Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Mahasiswa (Makma).

Optimis dengan pengembangan Axisto, Amzar berhasrat untuk membuka cawangan di UiTM seluruh negara, berbanding operasi secara dalam talian ketika ini.

"InsyaAllah selepas raya nanti saya usahakan untuk membuka outlet di dalam UiTM sendiri bermula di Kedah dan Shah Alam terlebih dahulu, di samping mendapatkan maklum balas daripada pelajar-pelajar yang menggunakan servis kami.

"Pada masa sama, saya bersama pasukan mahu melatih pelajar-pelajar UiTM untuk berkecimpung dalam bisnes memandangkan saya mahu mencari pekerja sambilan dalam kalangan pelajar," katanya yang berharap agar rancangannya dapat direalisasikan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain