suria

“Tak ubah macam pengemis!” - Rupanya ramai tak senang duduk tengok trend kongsi kod QR minta duit raya

Pemberian sampul raya dan kunjung mengunjung masih menjadi amalan masyarakat. -Gambar hiasan

TRANSAKSI tanpa tunai bagi menggantikan tradisi pemberian duit raya dalam sampul pelbagai corak terus mendapat perhatian ramai sejak ia diperkenalkan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pemberi hanya perlu mengimbas kod QR penerima dan membuat transaksi sejumlah wang.

Ekoran daripada itu ramai yang berkongsikan kod QR perbankan atau aplikasi mudah alih e-dompet masing-masing di media sosial sehingga mencetuskan trend beri duit raya secara rawak oleh individu tidak dikenali.

Bagaimanapun seorang pelayar laman X tampil menyatakan budaya menyebarkan kod QR sendiri demi meminta-minta duit raya perlu dihentikan.

Transaksi yang dibuat secara rawak oleh seorang individu. -Foto pelayar X

Transaksi yang dibuat secara rawak oleh seorang individu. -Foto pelayar X

Pada masa sama dia turut memuat naik tangkap layar seorang individu yang menyatakan perihal meminta-minta adalah antara larangan dalam Islam.

"Budaya menyebarkan kod QR sendiri dengan harapan agar dapat duit raya daripada orang lain perlu dihentikan kerana ia termasuk dalam larangan meminta-minta dalam Islam.

"Lebih-lebih lagi sekiranya yang meminta itu adalah mereka yang mampu," coret individu tersebut.

Bagi meneguhkan pandangan yang disuarakan, lelaki terbabit turut berkongsi hadis yang disandarkan pada larangan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dalam kedai mamak ‘kejar’ sampai ke kereta, tiba-tiba hulur RM250! Wanita anggap ‘rezeki daripada langit’, gembira dapat duit raya

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas ‘bawa’ RM200,000 pergi bazar Ramadan, pemuda nampak baki ketika guna kod QR... Netizen harap lebih hati-hati

"Disebutkan barang siapa yang meminta-minta dalam keadaan dia tidak memerlukannya, maka dia seakan-akan memakan bara api (hadis riwayat Ahmad)," tambahnya lagi.

Pada masa sama, dia memaklumkan hadis riwayat berkenaan telah dinilai sahih lighayrih oleh Shaykh Shu'ayb al-Arna'ut.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian warga maya terutama mereka yang masih mengamalkan trend berkongsi kod QR di media sosial.

Kalau orang ikhlas tak apa... bukannya kita paksa pun.

WARGA MAYA

Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan pelayar yang meninggalkan komen balas memberikan reaksi negatif dan bertegas ia bukan dilakukan secara paksaan mahupun meminta-minta.

"Nak bagi, bagi. Tak nak bagi, diam-diam saja.

"Masalahnya tak wajib pun imbas kod QR tu, mana unsur memaksanya... memang tak ada free will atau apa asal nampak QR wajib imbas.

"Kalau orang ikhlas tak apa kan... bukannya kita paksa pun," ujar beberapa warga maya.

Antara warga maya yang berkongsi kod QR masing-masing di laman sosial. -Foto Facebook

Antara warga maya yang berkongsi kod QR masing-masing di laman sosial. -Foto Facebook

Dalam pada itu, terdapat juga segelintir warga maya yang bersetuju dengan pandangan yang dikongsikan dan menganggap ia adalah maruah seseorang.

"Bab ni melibatkan maruah. Maaf cakaplah, kalau dah level bapa atau mak budak pun tak tahu malu asyik share merata QR sebab nak duit raya, auto kau dah tak layak dihormati.

"Ia tak ubah macam pengemis.

"Sebab itu saya tak berminat nak letak QR sebab macam terdesak sangat pula sedangkan duit raya tu bukan benda wajib. Terpulang pada keikhlasan orang yang memberi.

"Aku tak faham kenapa orang suka kongsi QR walau niat nak melawak tapi tak selesa pula macam minta-minta," tambah netizen lagi.

Segelintir warga maya beranggapan tindakan tersebut bukan meminta-minta

Segelintir warga maya beranggapan tindakan tersebut bukan meminta-minta

Sekadar peringatan bersama, memberi duit raya merupakan amalan yang baik kerana ia dianggap sebagai sedekah namun Islam melarang kita daripada meminta-minta.

Berdasarkan hadis Riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa meminta minta untuk menambahkan hartanya, sungguh dia telah meminta bara api.

Dalam hadis lain yang juga Riwayat Muslim Nabi berkata: Tidaklah seseorang itu meminta-minta sehingga nanti dia bertemu Allah tanpa seketul daging pun berada di wajahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain