suria

Baju Melayu terkena seterika, isteri letak bunga tutup ‘lubang’! Suami setuju pakai, tetap nampak macho

Cik Una dan suami beraya dalam persalinan busana warna 'baby blue'.

MEMANG cemas kalau baju raya rosak atau terkoyak, apatah lagi pakaian tersebut adalah kesayangan suami.

Malang tidak berbau, situasi itulah yang perlu dilalui seorang isteri yang mana baju Melayu suaminya ‘berlubang’ terkena seterika.

Kisahnya itu meraih perhatian ramai apabila kesan kerosakan pada baju tersebut 'ditutup' dengan corak bermotifkan bunga.

“Masih macho walaupun tangan dah berbunga” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial.

Berkongsi cerita, Nurul Husna Abdul Halim berkata, baju Melayu warna ‘baby blue’ itu dipakai suaminya pada hari kedua sambutan Aidilfitri tahun lalu.

Menurut wanita berusia 28 tahun itu, baju tersebut sebenarnya adalah baju nikah yang dipakai semula untuk raya tahun ini kerana tidak mahu membazir membeli pakaian baharu.

“Ketika itu kami hendak menghadiri kenduri saudara, saya guna seterika yang tak biasa digunakan ketika menggosok baju. Letak sekali, terus tak sengaja buat baju suami terbakar.

“Saya terkejut, risau dan sedih sebab itu baju nikah kami. Tapi suami tenang orangnya, walaupun nampak sedih, dia faham sebab tak sengaja dan terus hadir ke majlis tersebut dengan keadaan baju yang lengannya berlubang,” katanya kepada mStar.

Baju nikah yang diguna semula untuk sambutan Aidilfitri.

Walaupun insiden tersebut sudah lama berlaku, dia yang mesra disapa Cik Una perlu melakukan sesuatu bagi menutup kesan terbakar itu memandangkan baju tersebut hendak dipakai sekali lagi sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Niat saya hanya untuk membetulkan baju Melayu suami yang ada nilai sentimental kepada kami.

NURUL HUSNA ABDUL HALIM

Tanpa berfikir panjang, dia membuat keputusan untuk menjahit sulaman pada bahagian yang berlubang.

“Saya rasa serba salah nak biar suami pakai baju yang berlubang lagi. Jadi saya pun buat sulaman di atasnya... saya nak tutup 'aib',” ujarnya yang berasal dari Pulau Pinang.

Baju Melayu yang sudah disulam di bahagian lengan.

Menurut Cik Una, dia hanya menjahit sulaman pada lengan kiri baju Melayu suaminya yang berlubang akibat terkena seterika.

ARTIKEL BERKAITAN: “Matanya bulat besar” - Suami seram baju isteri nak pergi wedding berlubang, seterika zaman bujang jahanam... jenuh pujuk baru

ARTIKEL BERKAITAN: Apa kes pakai baju Melayu ‘koyak sampai ketiak’ di pagi raya? Lelaki ini cool, tak marah tukang jahit - “Cukuplah sekali je, tahun depan nak macam biasa”

“Sulaman di lengan kiri sahaja. Tak sempat nak sulam lagi sebelah, tapi sebenarnya bagi saya sulaman tu elok di sebelah sahaja.

“Kalau dua-dua belah akan nampak terlalu over untuk pakaian lelaki. Niat saya hanya untuk membetulkan baju Melayu suami yang ada nilai sentimental kepada kami,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2022.

Suami segak berbaju Melayu dengan sulaman corak bunga.

Jelasnya lagi, dia sebenarnya berminat dalam bidang kraftangan sejak kecil, malah berpengalaman berniaga kait dan sulaman secara kecil-kecilan.

“Tapi saya sudah berhenti (tak buat) lagi. Sekarang melihatkan sambutan yang hebat daripada orang ramai, mungkin saya akan melakukannya semula,” katanya, sambil menambah sulaman hasil kreativitinya itu mendapat pujian ramai di laman sosial.

Suami menghargai hasil kerja dan kreativiti isteri.

Mengenai reaksi suaminya, dia yang bertugas dalam khidmat pelanggan bersyukur lelaki itu gembira kerana baju miliknya itu tidak lagi berlubang.

“Suami tak marah. Lagipun dia pun suka kraftangan dan sentiasa sokong hasil kerja saya. Bagi saya, ada masa kita perlu kitar semula baju tapi bergantung kepada situasi.

“Kalau bajunya masih elok, kerosakannya tidak teruk, tak salah kalau kita cari cara untuk selamatkan baju tu. Seperti saya, sukakan kraftangan dan DIY.

“Tak salah untuk belajar ilmu baharu dan tambah skil hidup supaya kita lebih fleksibel menghadapi masalah. Skil ini juga boleh digunakan untuk menjana pendapatan,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain