BELUM pun hilang trauma kejadian anak digigit ular, sekali lagi keluarga wanita ini berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dikunjungi haiwan tersebut. Kehadiran reptilia berwarna hitam pekat itu sekali gus mencetuskan suasana panik lebih-lebih lagi ular kategori berbisa itu bertindak agresif ketika cuba ditangkap. Berkongsi cerita dengan mStar, Azela Zainal berkata, kehadiran ular berkenaan disedari oleh ibunya, selepas haiwan itu cuba merayap di atas kakinya. "Kejadian tersebut berlaku di rumah mak saya, tengah hari Khamis baru-baru ini. Mak saya berkerusi roda, tiba-tiba dia rasa ada benda sejuk melata dekat kaki dia. "Spontan mak libas kakinya dan ular tu terpelanting bawah almari. Terus mak panggil kami. Mujur rumah saya dan mak beberapa langkah je. Reptilia tersebut agak agresif dan terpaksa dibunuh kerana berbahaya. "Ular tu sangat agresif ketika suami nak cuba tangkap. Mak kemudian suruh ambil batang buluh. Barulah ia kurang melawan dan berjaya dibunuh sebab berbahaya. Kami bersyukur mak tak kena apa-apa," ujar wanita yang menetap di Trong, Perak ini. Menurut Azalea lagi, rumahnya bukan pertama kali 'dikunjungi' reptilia berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Damai waktu sahur bertukar gempar, ular hitam berkilat masuk rumah... Makin cemas, ramai sangka hadir sepasang! ARTIKEL BERKAITAN: Tengah leka bancuh susu anak, ular sawa muncul depan singki! Pukul 1 pagi bomba sampai, tapi balik tangan kosong "Sebenarnya, ini adalah kejadian keempat. Kali pertama, dua minggu sebelum raya baru-baru ini. Anak sulung saya digigit ular yang bersembunyi dalam handle motosikal. Tiga hari juga kena warded, mujur ular tu bukan jenis berbisa. "Semasa uruskan rawatannya, tiba-tiba anak kedua berumur 10 tahun telefon sambil menangis-nangis beritahu ada ular dekat pintu rumah. Masa tu pula tiada orang di rumah. "Kebetulan orang J&T call saya nak hantar barang.. terus saya minta tolong dia keluarkan dua anak saya," ujar ibu kepada lima cahaya mata ini. Saya mop siap sental dengan sabun tempat ular tu dibunuh sebab tak mahu ada kesan bau darah yang boleh tarik perhatian ular lain. AZELA ZAINAL Kejadian ketiga pula ujarnya, dia terserempak dengan reptilia itu di kawasan parkir rumahnya namun ular itu kemudian menghilang di sebalik belukar. "Dan kali keempat, yang terbaharu ini di rumah mak. Bayangkan dalam tempoh kurang dua bulan, empat kali ada insiden ular di rumah. "Memang trauma sampaikan setiap kali masuk dapur, tandas dan mana-mana ruang dalam rumah, kami perhati dulu untuk pastikan keadaan selamat. Yang paling saya risau tentulah mak sebab dia OKU. "Bila saya share di TikTok, terharu sangat ramai yang komen beri petua, doa dan kongsi pengalaman masing-masing. Tapi ada komen cakap, selalunya ular ni ada berteman. "Yang kami bunuh tu anaknya, mungkin ada ibunya juga. Memang takut sangat. Saya mop siap sental dengan sabun tempat ular tu dibunuh sebab tak mahu ada kesan bau darah yang boleh tarik perhatian ular lain," ujarnya lagi. Anak sulung Azela dimasukkan ke dalam wad kerana digigit ular, kira-kira dua minggu sebelum Syawal baru-baru ini. Tambahnya, ada yang turut mengaitkan kehadiran ular dengan makhluk halus dan menasihatkannya agar mengamalkan doa untuk mengelakkan perkara tak diingini. "Saya rasa ular-ular ni mungkin sedang cari tempat berteduh sebab sekarang ni musim panas melampau. "Namun memang kami tak putus-putus berdoa agar dilindungi daripada haiwan berbisa. Di samping itu, mungkin lepas ni nak try petua yang mereka share," akhirinya. Video yang dikongsikan Azela di TikTok sehingga kini meraih lebih 122,000 jumlah tontonan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube