suria

Terinspirasi disapa jiran T20 ‘humble’, sopan... Pemuda menyewa di kawasan elit pasang niat jadi ‘orang kaya baik’

Asrol menceritakan pengalaman disapa jiran T20.

MASALAH berkaitan parkir bukanlah perkara baharu di kawasan perumahan terutama di lokasi padat penduduk.

Bagaimanapun, disebabkan kita hidup bermasyarakat perlu ada sikap bertoleransi serta tolak ansur dengan orang sekeliling.

Tidak kira siapa dan setinggi mana pun pangkat, sikap merendah diri dan saling hormat menghormati sesama jiran semestinya akan mewujudkan suasana harmoni.

Sepertimana dikongsikan pemuda bernama Asrol Adizar di Facebook, dia begitu kagum dengan budi bahasa ditonjolkan oleh jirannya yang berlainan bangsa.

Sebahagian kucing yang diuruskan Asrol.

"Malam hari Khamis, seorang uncle parkir kereta mewah dia dekat depan rumah saya. Uncle ni jiran saya, berbangsa India. Dia nampak saya dekat depan rumah seraya menghampiri.

"Adik... saya minta maaf ya. Saya parkir sini satu hari saja. Nanti siang ada lori mahu masuk hantar perabot dekat rumah saya. Dia mahu masuk parkir garaj saya. Tersenyum je dia menyapa saya," ujarnya menceritakan semula situasi melibatkan mereka berdua.

Mendengar percakapan dan penjelasannya yang sopan itu terus membuatkan dia berasa sejuk hati, malah sempat bergurau.

"Eh, uncle. Takpela, uncle parking je tak kacau laluan keluar masuk saya pun. Wah uncle beli sofa baru ya," katanya.

Menurut Asrol, cara jirannya itu membuatkan dia tidak berasa diri kerdil kerana hanya menyewa di kawasan itu yang rata-rata penduduknya terdiri daripada golongan T20.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita rimas dengan jiran ‘over baik’, seminggu sampai 4 kali hantar makanan - “Saya anak ramai kot, dia asyik nak sedekah”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu geram anak dituduh menconteng, sanggup beli dan cat semula dinding rumah jiran! Tapi usaha tak dihargai, malah kena gelak

"Kawasan saya tinggal ni ramai golongan elit tinggal. Saya je yang tak elit tapi diberi kesempatan untuk menetap di sini bersama bulus-bulus (kucing) jagaan.

"Tapi masing-masing merendah diri. Kami Melayu minoriti dekat kawasan perumahan ni tapi tak pernah rasa dilayan secara rasis oleh kaum lain.

"Kadang-kadang bukan saya yang mula tegur mereka. Mereka yang mula menegur saya dan macam-macam hal dibualkan macam dah lama kenal," jelasnya.

Malah, dia juga berasa lega dapat terus berbakti kepada haiwan di pusat jagaan di kediamannya itu apabila tiada aduan atau rungutan daripada jiran-jirannya.

Dalam kalangan kawan saya pun ada beberapa orang yang kaya dan pemurah, sentiasa membantu kami ketika dalam kesusahan.

ASROL

Layanan dan sikap baik yang ditunjukkan oleh jiran sekeliling membuatkan dia berdoa dimurahkan rezeki dan seterusnya mencontohi mereka.

"Tiada rungutan daripada mereka sebab saya jadikan rumah ni pusat jagaan haiwan. Malah ada yang menyokong asalkan saya jaga dengan baik dan kekal bersih.

"Bila berada di kelompok mereka ni membuatkan saya nak jadi macam mereka andai dikurniakan rezeki menjadi kaya harta dan kaya budi pekerti. Dalam kalangan kawan saya pun ada beberapa orang yang kaya dan pemurah, sentiasa membantu kami ketika dalam kesusahan.

Antara komen netizen di Facebook.

"Ia cukup memberikan saya inspirasi. Saya turut ingin menjadi seperti mereka yang tak lokek membelanjakan harta ke arah kebajikan, sekiranya ditakdirkan Allah nanti," luahnya menyatakan hasrat di hati.

Dalam pada itu, Asrol juga berharap untuk memiliki kekayaan sehingga mampu membeli rumah didiaminya yang bernilai jutaan ringgit.

"Kalau mampu memang dah beli dah rumah yang kami diami sekarang ni. Sayang nak tinggalkan kejiranan ni tapi jutaan ringgit pula harganya.

"Mampu sewa je, itu pun separuh sewa minta donation, tapi berangan kan percuma, rezeki ni rahsia Allah kalau Dia nak bagi, sampai juga," katanya.

Hantaran dibuat Asrol menerima pelbagai reaksi netizen selepas ia menjadi tular.

Ternyata ramai dalam kalangan golongan marhaen mempunyai pengalaman sama sebagaimana dikongsikan lelaki ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain