DILABEL sebagai anak derhaka bukanlah perkara yang seharusnya dibanggakan. Apatah lagi ungkapan itu keluar dari mulut seorang ibu sehingga menguasai emosi seorang pemuda yang juga penagih dadah. Penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkongsi mengenai pemuda berkenaan yang dirawatnya dan terkenang satu momen perbualan mereka berdua. Seorang ibu mengharapkan kehidupan yang baik buat anak-anak. -Gambar hiasan "Penagih itu bagi telefon. Nah, Ustaz, ini telefon aku. Ustaz ambil telefon ni. Telefon Allah, minta Allah siapkan neraka yang paling VIP. "Mak aku sendiri cakap aku anak derhaka. Ustaz tempah satu bilik dalam neraka. Mati nanti aku terus 'check in' kat sana. Astaghfirullahaladzim, istighfar panjang ustaz apabila dia cakap macam tu," kongsi Ustaz Hanafi di Facebook. Cuba memujuk pemuda berkenaan, Ustaz Hanafi memberitahunya tidak baik seorang hamba Allah bercakap begitu dan menasihatkannya supaya meminta ampun dengan si ibu. "Kau baliklah jumpa mak kau. Minta ampun, minta doa pada mak kau. Dia cakap, tak ada makna ustaz. Aku tak pernah minta ampun daripada mak. "Tengok keadaan dia yang keras hati macam itu, ustaz biarkan saja. Biar reda dan berkurang ego dalam diri," ujarnya. Selain berdakwah, pemuda itu juga menjadi siak di masjid. -Gambar hiasan Bercerita lanjut, Ustaz Hanafi akhirnya mendapat tahu pemuda tersebut pulang ke kampung pada hari raya dan menyangka dia memohon ampun dan doa daripada ibunya. Namun sangkaan bahawa pemuda itu sudah insaf ternyata silap kerana ada agenda lain yang dilakukannya di kampung. "Dia balik kampung sebab hantar stok dadah, jual pada orang kampung," katanya. Tidak lama kemudian ibu penagih itu meninggal dunia, namun perangainya semakin menjadi-jadi, bertambah jahat dan tidak insaf. ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz terkejut pendedahan ketua gengster, syarat nak jadi ahli kongsi gelap tak boleh derhaka dengan mak ayah ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kaki masjid’ meninggal sendirian di rumah, mujur jiran prihatin! Ustaz imbas kisah nyaris jatuh balkoni, jirannya pantas bantu Kongsi Ustaz Hanafi lagi, dia bertemu semula dengan pemuda itu beberapa tahun kemudian dan mendapati keadaannya sangat berbeza. Anak-anak boleh berbakti kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia. -Gambar hiasan (RAJA FAISAL HISHAN) Jika sebelum ini dia merupakan penagih, katanya, pemuda itu berubah 100 peratus dan bergelar pendakwah. "Dulu ajak orang buat perkara jahat, sekarang ajak orang ke jalan Allah. Subhanallah. Dia cakap, sepanjang hidup saya lepas kembali ke jalan yang betul ni, saya tak pernah lupa sebut nama arwah emak dan arwah ayah setiap kali lepas solat. "Allah nak ke ampunkan dosa saya pada ibu dan ayah, yang saya pernah derhaka semasa mereka masih hidup? Allah nak ke ampunkan dosa saya? "Ustaz pun peluk dia dan cakap... Wallahi, kau berubah berkat doa emak kau. Kau berhijrah berkat doa ibu ayah kau yang telah meninggal dunia. Allah Maha Pengampun, Allah pasti ampunkan dosa sesiapa saja yang betul-betul bertaubat kepadaNya," katanya mengimbas kembali pertemuan itu. Jom kita jadi ‘harta’ yang panjang manfaatnya kepada ibu ayah kita dengan jadi anak yang soleh dan taat kepada Allah. USTAZ HANAFI PENCERAMAH BEBAS Walaupun pernah melabelkan anak sendiri sebagai 'derhaka', Ustaz Hanafi percaya arwah ibu pemuda itu tidak pernah putus berdoa agar anaknya kembali ke pangkal jalan. Selain berdakwah, menurutnya, pemuda itu juga menjadi siak di masjid di kampungnya sendiri yang terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan. "Di tanah perkuburan itulah mak dia dikuburkan. Dia nak sentiasa mengingati ibu yang meninggal dunia dan terus menjadi talian hayat yang menghantar doa dan pahala kepada ibunya," katanya mengenai contoh bakti anak setelah ibu meninggal dunia. Ustaz Hanafi berkongsi kisah kemasyarakatan yang memberi pengajaran dan keinsafan. Menerusi hantaran sama di Facebook, Ustaz Hanafi turut berkongsi beberapa amalan yang boleh dilakukan sebagai saham pahala kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia. "Doakan yang baik-baik, doakan Allah ampun segala kesalahan ibu ayah kita ketika di dunia. Doakan agar Allah beratkan timbangan pahala mereka. "Panjang sedekah dari harta mahupun ilmu yang mereka tinggalkan. Langsaikan hutang mereka yang berbaki. Tunaikan wasiat yang ibu ayah tinggalkan dengan keadaan baik dan ziarah kenalan serta saudara. "Anak-anak adalah harta setiap ibu ayah. Sebagai anak, jom kita jadi ‘harta’ yang panjang manfaatnya kepada ibu ayah kita dengan jadi anak yang soleh dan taat kepada Allah. "Semoga ada pahala yang mengalir kepada mereka asbab apa saja yang kita lakukan sepanjang hidup ini. Semoga kita dikumpulkan kembali di syurga bersama ibu ayah tercinta," kata Ustaz Hanafi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube