suria

Fatimah ‘The Family UK’ minta guru datang ke wad walau lemah untuk belajar, ibu terkedu anak pilih dirinya jadi role model

Allahyarham Adamdidam dan keluarga penguat semangat Nor Ashila. Foto IG The Family UK

SABAN hari kita menantikan perkembangan terkini keadaan kesihatan personaliti media sosial cilik, Fatimah Omar Mukhlis, sejak dimasukkan ke hospital pada Mac lalu.

Pada masa sama, ramai juga menitipkan doa dan harapan buat kanak-kanak berusia 10 tahun itu yang kini dirawat di Hospital Birmingham, United Kingdom (UK).

Kata-kata semangat daripada rakyat Malaysia turut dikirimkan untuk keluarga Fatimah, menjelang keputusan biopsi keduanya yang akan diketahui dalam tempoh 10 hingga 14 hari selepas prosedur dijalankan pada 29 Mei lalu.

mak fatimah 10

Fatimah dimasukkan ke Hospital Birmingham, United Kingdom sejak Mac lalu.

Berkongsi luahan kepada mStar, ibu Fatimah, Nor Ashila Mahamed Ismail, 43, berkata, kesihatan anaknya sebelum ini semakin merosot dan terkini keadaannya masih lemah.

Menurut Nor Ashila, keadaan Fatimah dalam pemantauan doktor dan kiraan darah dilakukan setiap hari untuk penilaian dari semasa ke semasa.

“Tekanan darah dan kadar denyutan jantung Fatimah turun naik.

“(Kiraan darah) semakin menurun. Tak turun mendadak, tapi perlahan. Jika ada keperluan, prosedur pemindahan darah akan dijalankan,” katanya kepada mStar.

Fatimah teruja menjalani sesi pembelajaran di hospital.

Keputusan bagi prosedur biopsi kedua yang dijalankan pada 29 Mei lalu itu mengambil masa berikutan sampel tisu Fatimah dihantar ke tiga makmal berbeza untuk dianalisis, bagi mengenal pasti dan mengesahkan penyakit yang dihadapi anak kedua daripada tiga beradik itu.

Walaupun dalam keadaan masih lemah, kata Nor Ashila, dia bersyukur dan sedar mempunyai anak yang sangat kuat semangatnya untuk melawan penyakit yang dihidapi.

Ada soalan tu bertanyakan siapa role model, Fatimah jawab ‘my mother’ (ibu saya).

NOR ASHILA MAHAMED ISMAIL

IBU FATIMAH

Bukan sahaja semangat dalam diri, malah Fatimah juga teruja mendapat kemudahan pendidikan menerusi sesi pembelajaran daripada guru yang disediakan pihak hospital.

“Fatimah sendiri buat permintaan untuk ada kelas setiap hari. Dalam keadaan dia dirawat di hospital, dia tetap teruja untuk belajar dan melakukan pelbagai aktiviti.

“Namun sejak 21 Mei lalu, keadaan Fatimah yang lemah membuatkannya tidak dapat meneruskan kelas. Tapi cikgu akan datang ke wad setiap hari, bawa laptop dan buku,” ujarnya.

Antara aktiviti yang dilakukan Fatimah di hospital.

Sebagai ibu, Nor Ashila seboleh-bolehnya mahu berkongsi setiap perkembangan Fatimah kepada umum, namun berat hatinya untuk menulis kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia rindu telatah comel Fatimah ‘The Family UK’... Keadaan kesihatan cetus tanda-tanya, ibu minta doa harapkan keajaiban

ARTIKEL BERKAITAN: Keadaan tidak begitu baik, Fatimah ‘The Family UK’ terpaksa ditidurkan... Doktor lakukan prosedur biopsi sekali lagi

Sekali lagi, wanita itu mahu menjelaskan tiada niat untuk dirinya menyembunyikan, apatah lagi berahsia mengenai penyakit yang dihadapi Fatimah.

“Saya akan kongsikan apabila tiba masanya, selepas doktor mengesahkannya. Terima kasih kepada semua yang bersabar dan bertenang, terutama mereka yang tidak berhenti mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Fatimah,” ujarnya sebak.

Hubungan akrab Fatimah (kiri) dan Allahyarham Adamdidam. Foto IG Adamdidam

Menurut Nor Ashila, sumber kekuatannya yang sebenar datang daripada Allah, berdasarkan keadaan kesihatan dirinya, Fatimah dan pemergian adiknya, Allahyarham Chef Adam Mahamed Ismail, chef selebriti yang lebih dikenali sebagai Adamdidam.

“Selepas pemergian Adam, saya menyaksikan betapa struggle mak ayah untuk mengubati kesedihan mereka, jadi saya bangkit dan perlu kuat buat keluarga.

“Saya juga sakit yang berlanjutan sejak 12 tahun lalu. Saya sangat struggle, pernah hampir putus asa. Syukur Alhamdulillah, keluarga termasuk Adam dan Fatimah menguatkan semangat saya.

“Apabila anak pula masuk ke hospital, sebagai ibu, saya perlu kuat untuk anak,” ujarnya mengenai Adam yang meninggal dunia pada 2019 akibat jangkitan paru-paru sambil menambah dia lebih selesa tidak memperincikan kesakitan yang dialaminya.

Kenangan... Allahyarham Adamdidam (hadapan, tengah) bersama tiga anak saudaranya termasuk Fatimah (belakang). Foto IG Adamdidam

Lebih menguatkan semangat wanita itu apabila Fatimah dalam keadaan sakit dan terlantar di hospital, masih mampu memberitahu bahawa dirinya adalah idola dalam hidup kanak-kanak itu.

“Dua, tiga hari lepas, Fatimah ada bermain dengan board game. Ada soalan tu bertanyakan siapa role model, Fatimah jawab ‘my mother’ (ibu saya).

“Sebagai ibu, saya sebak kerana saya harap dia jawab ‘orang lain’ kerana saya merasakan tidak sesuai menjadi role model sebab saya sakit. Tapi apabila Fatimah begitu teruja menjawab saya adalah role model dia, saya terharu dan bersyukur,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.

Fatimah bersama abang dan adik lelakinya menjadi perhatian kerana bertutur dalam dialek Kelantan, meskipun membesar di Birmingham, United Kingdom.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain