SEORANG individu meraih perhatian warga maya apabila dia berkongsi kisahnya yang tumpah air mata pada pagi Hari Raya Aidiladha. Menerusi perkongsian di X, individu itu berkata dia baharu sahaja dimaklumkan ibu bapanya tentang ibadah korban yang perlu dilakukan pada pagi Isnin. Namun katanya, dia gagal menahan air mata kerana tidak sanggup untuk melihat lembu disembelih bagi menyempurnakan ibadah berkenaan. Umat Islam di Malaysia meraikan Aidiladha pada Isnin. "Tumpang tanya kepada sesiapa yang tahu, saya salah atau berdosa ke? Saya baru tahu, ibu ayah letak salah satu bahagian daging korban atas nama saya. "Sebagai orang yang terlebih empati dan simpati, saya memang cepat sedih dan menangis. Pagi ni masa seronok makan ketupat, ibu ayah kata saya kena pergi tempat korban sebab saya penama. "Saya sedih tengok lembu kena korban. Saya tak pernah tengok proses sembelihan walau sekali pun depan mata. Jadi saya nangis-nangis sambil makan," ujarnya memulakan cerita. Berdosa ke agak-agaknya apabila saya ada emosi dan perasaan kasihan haiwan sembelih? PENGADU Menurut pengadu lagi, dia kemudiannya dipujuk ibunya untuk pergi ke tempat sembelihan, namun risau jika gagal menahan emosi apabila berada di sekeliling orang ramai. "Saya cakap dengan ibu ayah, nanti kat sana angah nangis juga dan boleh jadi lagi teruk kat depan ramai orang. Mak kata pergi je sekejap. "Kemudian lepas nama kena panggil tu dan dah sembelih, saya boleh balik. Tapi saya memang tak boleh nak tengok. Apatah lagi nanti dengar bunyi apa semua," luah individu itu. ARTIKEL BERKAITAN: Lembu tersepit, tuan rumah sanggup pecah pagar... Netizen suruh sembelih sebab nakal - “Masa raya korban tak nak pula serah leher” ARTIKEL BERKAITAN: Pengguna jalan raya kecoh, 2 ekor lembu lawan arus di LDP sehari sebelum Aidiladha Dalam hantaran itu, pengadu juga memohon pandangan warga maya sekiranya perasaan yang dialaminya boleh menjadi satu dosa. "Saya tengok lembu kena hujan pun sedih. Tengok lembu seekor di tepi jalan pun sedih dan menangis dalam diam. Tengok katak mati kena langgar kat jalan pun sedih. "Saya tengah nangis kat bilik. Saya selalu dengar orang cakap kalau kita kesian, kita tak boleh makan daging tu. "Ada ke yang macam saya juga? Berdosa ke agak-agaknya apabila saya ada emosi dan perasaan seperti ini?" luahnya lagi. Sebahagian lembu yang akan dikorbankan sempena Aidiladha. -Gambar hiasan Beberapa individu berkata perasaan itu bukanlah satu perkara yang pelik kerana mereka turut berhadapan situasi serupa. "Saya pun menangis juga. Tapi tahan sebab masih ingat mak saya cakap haiwan yang dikorbankan tu, kena sembelih atas Izin Allah. "Tak ada masalah pun. Kasihan kepada binatang itu fitrah and part of ihsan kepada makhluk tuhan. "Faham. Valid je perasaan tu. Saya pun sama macam kamu," tulis beberapa individu. Untuk pengetahuan bersama, rasa belas kasihan terhadap haiwan yang disembelih tidak mempengaruhi halal dan haram sekiranya ia cukup syarat sah sembelihan. Huraian mengenainya dijelaskan secara panjang lebar menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube