suria

[V] Berpisah sejak usia 2 hari, wanita akhirnya dapat peluk ibu kandung selepas 27 tahun - “Sekilas pandang saya tahu itu mak saya”

MOMEN seorang wanita berpelukan dengan ibu kandungnya selepas 27 tahun terpisah membuatkan ramai sebak.

Namun, timbul pelbagai persoalan dan tanda tanya tentang bagaimana dua beranak itu boleh terpisah dan menjalani kehidupan berlainan agama.

Menyedari ramai yang ingin tahu kisah hidupnya, Dayah tampil menceritakan semula bagaimana dia diserahkan kepada keluarga angkat menerusi akaun TikTok rakannya, Atilia Yusuf.

"Waktu umur saya dua hari, mak kandung serahkan saya kepada keluarga Melayu sebab tu nama saya Nur Hidayah. Menurut cerita mak kandung, waktu tu hidup mereka susah, ada masalah kewangan dan keluarga.

Dayah menceritakan bagaimana dia terpisah dengan ibu kandung.

"Jadi mak kandung tak nak saya sakit dan abaikan saya. Dia fikir jalan terbaik adalah serahkan kepada yang layak untuk menjaga. Masa nak daftarkan saya dekat JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kebetulan ada saudara kepada datuk angkat saya bekerja di situ.

"Dia pun hubungi datuk angkat bagitahu ada orang nak bagi anak tapi berbangsa India. Bila berbincang semua, mereka (keluarga angkat) pun setuju untuk ambil saya. Jadi pada tarikh berikutnya mereka datang dan serahkan saya (kepada keluarga angkat)," jelasnya.

Jelas wanita berusia 27 tahun ini, dia tidak terkejut kerana sudah dimaklumkan sejak kecil mengenai status dirinya yang dibesarkan oleh keluarga angkat dan dibesarkan serta dididik dengan berlandaskan agama Islam.

Bagaimanapun, terdetik rasa ingin tahu dalam diri Dayah untuk mencari keluarga kandung selepas melihat dokumen-dokumen pengesahan anak angkat serta sijil kelahirannya ketika pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan.

Dayah kemudian mengambil gambar surat beranak serta salinan kad pengenalan (IC) lama milik ibu kandungnya untuk memulakan 'misi' pencarian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 7 tahun jaga anak angkat, lesap sekelip mata ‘dirampas’ ibu kandung yang juga kawan sendiri!

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak mampu jaga, tak payahlah ambil” - Selepas 3 bulan diserah kepada ibu kandung, Amir pergi jua... luluh hati ibu angkat dapat tahu didera punca kematian

"Masa tu berbekalkan nama dan IC lama mak saja saya cari dekat carian Google. Akhirnya saya dapat petunjuk dekat mana tempat tinggal dia. Masa tu saya tak beritahu sesiapa lagi.

"Saya pergi sendiri dan tanya penduduk di sekitar dan tunjuk gambar 27 tahun lepas sama ada kenal atau tidak dengan ibu kandung saya. Akhirnya ada seorang hamba Allah cakap kenal ibu saya.

"Katanya dia kenal ibu saya. Dia memang duduk sini tapi rumah mana satu saya tak tahu. Jadi saya pergi dekat blok tu, tanya orang lain dan ada yang kenal ibu saya. Tapi saya tak pergi sebab perasaan takut masih ada. Saya pun balik semula ke rumah," imbasnya.

Selepas pulang ke rumah, dia menceritakan tentang perkara ini kepada Atilia yang dipanggil Kak Lia.

Sejauh mana saya lari pun, saya tetap anak dia dan dia tetap mak saya.

DAYAH

Beberapa hari kemudian, iaitu tanggal 22 Jun 2024, Dayah akhirnya berjumpa dengan ibu kandungnya dipercayai menetap di Beranang, ditemani Atilia sebagaimana yang dapat dilihat dalam video tular.

"Saya lalu depan rumah dia, ngam-ngam masa tu ibu kandung saya tengah duduk menghadap pintu. Sekilas pandang, saya memang tahu tu mak saya. Saya dah tak boleh tahan perasaan, saya menangis dekat situ.

"Sebab itulah pertama kali dalam hidup saya nampak mak kandung saya selepas 27 tahun. Masa dah sah itu rumah mak kandung, saya tak panggil dia 'mak' lagi. Saya panggil dia aunty. Saya cakap saya ada sekeping surat, tolong baca ya.

"Jadi dia (mak) panggil anak buah dia bacakan. Sampai dekat nama Aishah (nama ketika berpisah), dia terus pandang saya tapi mungkin dia was-was lagi. Habis baca surat, dia tanya saya... Ni Aishah ke? Di situlah untuk pertama kali saya memeluk ibu kandung saya," jelasnya lagi.

Dayah mendengar penjelasan ibu kandung ketika meluangkan masa bersama.

Dayah berkata, tujuan utama dia mencari ibu kandungnya kerana ingin tahu alasan dirinya diserahkan kepada keluarga angkat.

Seperti yang dipaparkan dalam video, Dayah dijemput masuk ke dalam rumah dan mendengar cerita sebenar daripada ibunya.

"Saya nak cari mak kandung sebab dia mak saya. Sejauh mana saya lari pun, saya tetap anak dia dan dia tetap mak saya. Ceritanya panjang lagi. Saya juga ada baca komen yang sama-sama sukar mencari ahli keluarga macam saya.

"Memang tak mudah bagi mereka yang menghadapinya. Tapi apa yang saya boleh cakap, anda tolong la jangan putus asa cari ahli keluarga. Anda masih ada masa dan peluang lagi. Lambat atau cepat, jauh atau dekat. Sentiasa doakan yang baik-baik," katanya.

Dalam pada itu, Dayah berharap video tersebut boleh dijadikan sebagai pencetus semangat untuk mana-mana anak angkat supaya tidak berputus asa mencari keluarga kandung masing-masing.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain