BEBERAPA bulan 'menyepi' tanpa sebarang khabar berita, personaliti media sosial, Fatimah 'The Family UK' kembali di laman sosial menjelang ambang tahun baharu 2025, pada minggu lalu. Kali terakhir hantaran yang dibuat mengenai Fatimah atau nama sebenarnya Fatimah Omar Mukhlis, 11, adalah pada 4 Julai 2024. Meskipun kerinduan terhadap Fatimah akhirnya terubat, masih ramai terutamanya dalam kalangan 772,000 di Instagram tertanya-tanya apakah yang membuatkan keluarga yang menetap di Birmingham, United Kingdom itu mendiamkan diri. Gambar Fatimah menerusi hantaran terakhir pada 4 Julai 2024 sebelum keluarganya memilih untuk berdiam diri di laman sosial selama beberapa bulan. Berkongsi secara eksklusif kepada mStar, ibu Fatimah iaitu Nor Ashila Mahamed Ismail, 44, berkata, anaknya itu kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelumnya dan dibenarkan discaj daripada hospital sejak Oktober 2024. Pilih berdiam diri Menurutnya, Fatimah bagaimanapun masih perlu berulang-alik ke hospital setiap minggu bagi memantau simptom serta perkara lain seperti semakan ujian darah dan fisioterapi. Jauh di sudut hati, kata Nor Ashila, sukar untuk digambarkan mengenai apa yang berlaku sepanjang keluarganya membuat keputusan untuk mendiamkan diri daripada media sosial selama beberapa bulan. Dia mengakui ketika itu keadaan Fatimah bertambah buruk dan hanya terlantar di hospital. "Mulanya kami sangka tak ada harapan lagi. Hanya terlantar di katil, tak boleh makan, minum dan bercakap. Keadaannya sangat teruk sehingga kami fikir kami akan kehilangannya. "Bukan mudah untuk berkata begitu. Ketika itulah kami memilih untuk berdiam diri dan memberi tumpuan sepenuhnya kepadanya. Keadaan Fatimah terlalu rumit. Kami memerlukan sedikit masa dan ruang untuk 'bernafas' apabila keadaan Fatimah semakin teruk tahun lalu," ujarnya ketika dihubungi. Norma baharu Jelas Nor Ashila, berkat doa orang ramai, mereka sekeluarga diberi peluang kedua apabila keadaan Fatimah kini menunjukkan peningkatan dan perkembangan positif berbanding sebelumnya. "Syukur Alhamdulillah, Fatimah sudah boleh bercakap, makan dan minum. Cuma keadaannya tidak menentu, tapi perkembangan yang lebih baik berbanding sebelum ini. "Jika orang tanya apa penyakit dia, kami sendiri belum tahu. Sebelum ini disyaki menghidap kanser tetapi sehingga kini, semua biopsinya gagal membuktikan sebarang kanser, walaupun dia positif untuk banyak penyakit jarang lain termasuk penyakit autoimun," katanya. Fatimah berehat di rumah ditemani kucing peliharaan, Hedwig. Autoimun merujuk kepada penyakit di mana sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisunya sendiri. "Buat masa ini, Fatimah sedang menjalani rawatan untuk mengawal imun badan agar tidak agresif. Kami sekeluarga masih dalam peringkat menyesuaikan diri untuk hidup semula bersama dengan norma baharu," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia rindu telatah comel Fatimah ‘The Family UK’... Keadaan kesihatan cetus tanda-tanya, ibu minta doa harapkan keajaiban ARTIKEL BERKAITAN: Fatimah ‘The Family UK’ terpaksa ditidurkan, bakal jalani 5 prosedur - “Mohon doakan kesayangan kami” Menurut wanita itu, doktor masih melakukan lebih banyak penyelidikan mengenai penyakit Fatimah serta mendapatkan pendapat kedua daripada hospital lain di UK. Bukan itu sahaja, sampel darah anaknya turut dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk diuji. Tambahnya, kes Fatimah turut dibincangkan di peringkat antarabangsa bagi mendapatkan lebih banyak pendapat daripada profesional perubatan lain di seluruh dunia. "Doktor menjalankan ujian genetik bagi mengesan kaitan faktor keturunan untuk penyakit kanser. Semua keputusan genetik adalah negatif. "Faktor kesihatan Fatimah mungkin disebabkan oleh genetik Fatimah sendiri sejak lahir," kata Nor Ashila sambil menambah anaknya itu sudah menjalani lebih 10 prosedur sejak Mac 2024. Fatimah mengisi masa lapang dengan memasak. Semangat tinggi Mengenai Fatimah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-11 pada 3 Januari lalu, Nor Ashila memberitahu, dia berbangga dengan kekuatan semangat anaknya itu meskipun menyedari sedang sakit. "Mulanya dia sedih juga apabila rambutnya gugur disebabkan kesan rawatan, tetapi dia kini gembira apabila semakin banyak rambut mula tumbuh. "Fatimah juga sudah boleh berjalan semula. Kerana semangat tinggi Fatimah, ia membuatkan kami sekeluarga tidak berputus asa. "Dia sebenarnya seorang yang aktif dan outdoor person. Jadi dia cepat bosan apabila berehat di rumah. Kebanyakan aktiviti dia adalah melakukan seni dan kraft serta mewarna. Semangat tinggi Fatimah membuatkan kami sekeluarga tidak berputus asa. NOR ASHILA MAHAMED ISMAIL IBU "Kadang-kadang, Fatimah masuk ke dapur memasak ikut jejak langkah bapa saudaranya, arwah Adam. Fatimah buat kek, brownies, cupcake dan piza... air fryer tu dah macam 'kawan baik' dia," kata Nor Ashila. Untuk rekod, Adam yang dimaksudkan ialah adiknya iaitu chef selebriti, Allahyarham Muhammad Adam Mahamed Ismail atau lebih dikenali sebagai Adamdidam. Fatimah dan Allahyarham Adamdidam begitu rapat. Tambah Nor Ashila, Fatimah juga kembali mengikuti kelas secara dalam talian dari rumah apabila keadaan kesihatannya mengizinkan. "Fatimah rindu untuk kembali ke sekolah. Malah, pada Disember lalu, dia pergi ke sekolah berjumpa dengan rakan-rakannya dan mengambil bahagian melakukan persembahan secara solo dengan menyanyikan lagu penyanyi terkenal, Mariah Carey. "Kami bersyukur guru dan rakan-rakannya amat memberi sokongan kepadanya, menjadikan Fatimah bertambah semangat," katanya. Berita palsu kematian Dalam pada itu, Nor Ashila turut meluahkan kekecewaannya apabila ada yang sanggup menyebarkan berita palsu mengenai kematian Fatimah. "Saya terkejut apabila ada kenalan ucap takziah pada saya beberapa minggu lalu sebab mereka dapat maklumat dari media sosial mengenai anak sudah meninggal dunia. "Sebagai ibu, sudah tentu saya kecewa dan marah. Bagi saya, ia merupakan sesuatu yang tidak baik kerana mereka tidak bertanggungjawab dengan memandai buat cerita. "Saya percaya para pengikut kami tidak begitu. Mereka sangat memahami, supportive, memberikan semangat dan tidak pernah memaksa. Terima kasih kepada semua yang tidak putus bertanya khabar dan berdoa buat kami sekeluarga terutamanya," katanya yang mengakhiri perbualan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube