BERUNTUNGNYA mana-mana ibu bapa dikurniakan anak-anak yang setia di sisi, apatah lagi setia menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sehingga nafas terakhir.
Bersyukur dapat berbakti kepada bapa sehingga insan kesayangannya itu menghadap Ilahi pada November tahun lalu, Farah Nurul Fatimah Rezemi mengakui sentiasa diselubungi rasa rindu melakukan rutin harian menjaga arwah yang terlantar akibat strok.
Disebabkan mahu mengubat rasa rindunya, dia yang senang disapa Fatimah mahu berbakti kepada insan lain pula dengan menawarkan perkhidmatan sebagai caretaker kepada mereka memerlukan, terutamanya sebagai peneman ke hospital atau fasiliti kesihatan.
Fatimah menawarkan perkhidmatan di meliputi kawasan Nilai dan Sepang, Hospital Seremban, Putrajaya dan Cyberjaya.
"Idea buat servis 'Peneman ke hospital, Fatimah kan ada' tercetus selepas ayah saya kembali kepada Penciptanya pada November 2024.
"Sebelum ini, saya berhenti kerja untuk meluangkan masa bersama ayah yang bedridden dan menguruskan adik berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
"Dari Jun hingga November 2024, ayah kerap masuk Hospital Seremban dan Hospital Putrajaya.
Perkongsian Fatimah di media sosial mengenai perkhidmatannya mendapat sambutan.
"Saya masih dalam keadaan berduka justeru saya ambil iniasitif untuk terus melakukan perkara yang sering saya lakukan bersama ayah," katanya kepada mStar.
Fatimah yang sebelum ini bekerja sebagai ahli terapi di sebuah spa berkata, inisiatif tersebut juga didorong oleh pengalamannya yang mengetahui sedikit sebanyak selok-belok lokasi serta sistem di fasiliti kesihatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak berhenti kerja, pilih berbakti jaga mak ayah sakit! Selepas 5 bulan ibu meninggal, bapa pula ‘menyusul’ - “Bahagialah bersama cinta hati abah”
ARTIKEL BERKAITAN: Anak berhenti kerja jaga ibu lumpuh, banyak buat research sendiri demi mudahkan penjagaan - “Apalah sangat kepenatan saya ni”
Menetap di Nilai, Negeri Sembilan, Fatimah berkata perkhidmatan yang ditawarkannya merangkumi menjemput dan menghantar klien pulang, menemani dan menguruskan klien sepanjang rawatan.
"Perkhidmatan ini meliputi kawasan Nilai dan Sepang, di Hospital Seremban, Putrajaya dan Cyberjaya," ujarnya yang merupakan anak keempat daripada lima adik beradik.
Idea buat servis 'Peneman ke hospital, Fatimah kan ada' tercetus selepas ayah saya kembali kepada Penciptanya pada November 2024.
FATIMAH
Berkongsi mengenai sambutan yang diterima, Fatimah melahirkan rasa syukur kerana perkhidmatannya semakin mendapat permintaan ramai lebih-lebih lagi selepas hebahannya di media sosial dikongsikan secara meluas oleh warga maya.
"Saya harap sambutan lebih ramai lagi supaya setiap hari saya dapat teman ramai ibu bapa ke hospital," ujarnya sambil meluahkan rasa terharu dengan komen positif daripada netizen.
Tidak menyangka hebahannya menjadi tular, Fatimah dalam masa yang sama berharap agar inisiatifnya sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi dan mesej positif kepada orang lain.
Fatimah di samping keluarga dan arwah bapa.
"Semasa kita lahir di dunia, kita akan membawa nama ayah sepanjang hidup, tapi apabila kita meninggal dunia, talkin yang akan dibaca menggunakan nama ibu.
"Ayah dan ibu merupakan keramat di dunia ini, kehadiran serta doa yang anak-anak harapkan.
"Sebagai anak, marilah kita cuba buat yang terbaik untuk menyantuni mereka selagi mereka masih ada selebihnya serahkan kepada Allah," akhirinya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube