BENARLAH kata orang, jika kita berasa diri ini susah, sebenarnya ada lagi orang lain yang lebih susah daripada kita.
Ada ketikanya, seseorang itu mungkin tidak mengalami kesusahan tetapi dipertemukan dengan insan yang berada dalam keadan terdesak dan memerlukan bantuan.
Begitulah ujian yang diaturkan buat seorang usahawan, Muhammad Abu Hurairah Roslan ketika dalam perjalanannya untuk bercuti ke Negeri Sembilan.
Berkongsi cerita, katanya, dia singgah sebentar di stesen minyak bagi mengisi petrol pada kereta yang dipandunya sebelum meneruskan perjalanan.
Mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan. -Gambar hiasan
"Saya singgah isi minyak. Tak nampak (tengok) meter, saya terus tekan amaun melebihi dari yang sepatutnya.
"Aduh, (ada baki) lebih RM8," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan naik motosikal tengah malam rentas 300km demi bantuan laptop... Suami tak pandai belajar sokong isteri masuk universiti
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Cina kusut, hanya ada RM3 nak beli minyak kereta balik Tanjong Malim... Mujur ada hamba Allah baik hati, tolong isi ‘full tank’
Tidak mahu membazirkan baki minyak begitu saja, Abu Hurairah cuba mencari mana-mana pengguna motosikal di stesen minyak yang sedia menggunakan lebihan petrolnya.
"Saya cuba cari kot ada penunggang motosikal yang nak isi minyak. Nampak seorang abang ni, dia tengah tunggu giliran untuk mengisi dekat pam sebelah.
"Saya panggil dia, Abang! Abang! Lelaki tu tak perasan. Saya hanya termenung saja sambil tunggu kereta depan habis isi," ujarnya.
Saya ada RM1 je tadi. Bagi isteri nak beli lauk masak semua.
PENUNGGANG MOTOSIKAL
Enggan berputus asa, Abu Hurairah kemudian menjerit pula ke arah penunggang motosikal berkenaan
"Abangggg! Dia terus pandang saya. Sini bang, saya ada minyak lebih. Sini!
"Sambil saya isikan minyak, banyak kali dia sebut, 'Terima kasih, Allah'," tambahnya.
Isteri membeli barang dapur untuk keluarga. -Gambar hiasan
Namun katanya, dia berasa sebak mendengar sendiri pengakuan penunggang motosikal itu yang amat mengejutkannya.
"Paling sayu dia menyeka air mata. Dia cakap, Saya ada RM1 je tadi. Bagi isteri nak beli lauk masak semua. Tiba-tiba kau bagi minyak percuma ni. Aku tak boleh tahanlah.
"Saya balas, Selamat berjuang bang. Moga Allah selalu hiburkan abang," katanya yang mengimbas kembali perbualannya bersama penunggang motosikal berkenaan.
Menurut Abu Hurairah, dia juga benar-benar tidak menyangka dipertemukan dengan individu dalam kesusahan tetapi cekal hatinya mengharungi ujian dan dugaan.
"Kami berpisah. Saya pergi bercuti. Dia pula berjuang untuk teruskan hidup lagi. Terdiam saya bila Allah datangkan orang-orang begini," katanya.