suria

Bomba tak dapat bantu, dua hero ambil risiko selamatkan kucing atas bumbung flat 3 tingkat... Umpan guna ‘wet food’ menjadi!

Kucing ini berjaya diselamatkan selepas lima hari berada di atas bumbung.

SEORANG wanita menerima pujian kerana menggerakkan usaha menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas bumbung sebuah flat tiga tingkat.

Menurut Khairulnisa Nabihah, 29, yang menetap di Batu Pahat, Johor, dia menyedari haiwan itu berada di atas bumbung kediamannya pada 31 Januari lalu.

Ketika dihubungi mStar, wanita yang mesra disapa Nisa itu mengesyaki kucing tersebut sebenarnya sudah terperangkap lebih awal sebelum dia menyedari kejadian tersebut.

Bimbang akan keselamatan haiwan comel itu, dia cuba mendapatkan bantuan pihak berkuasa, namun usaha tersebut menemui jalan buntu.

NISA 21

Nisa dan suaminya, Fitri.

"Bomba datang bawa tangga lipat. Salah seorang leader mereka kata kucing tu lari, susah nak tangkap. Kalau guna tangga pun lepas sampai tingkat tiga saja.

"Saya ada cakap untuk buka bumbung, tapi mereka kata bahaya untuk anggota juga. Sebab papan atas tu tak berapa kuat. Saya tanya biasanya ada kren, tapi mereka kata kren rosak.

"Kalau pakai tangga pun mustahil untuk selamatkan kucing tu. Leader mereka pun ada minta maaf. Bukan tak nak selamatkan, tapi fikir bahayakan anggota mereka juga," imbasnya.

Saya menangis bukan sebab kucing saja. Tapi saya fikir nyawa orang dan suami saya.

KHAIRULNISA NABIHAH

Menurut wanita itu, suaminya yang dikenali sebagai Fitri Ahmad Azam akhirnya memberanikan diri untuk naik ke atas bumbung pada 3 Februari.

Tambah Nisa yang menetap di tingkat tiga flat itu, suaminya berjaya menyelamatkan haiwan malang itu dengan bantuan seorang lagi individu dikenali sebagai Indra.

"Suami saya nekad naik ke bumbung melalui rumah sebelah yang kosong. Kami pancing dengan wet food. Ada seorang abang ni cakap dia boleh tolong.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis kucing terkena parvo dibuang di klinik berserta nota penuh emosi, doktor veterinar tak maafkan pelaku

ARTIKEL BERKAITAN: Puas bagi hint tapi isteri ‘blur’, tak faham! Pasangan ini berdepan insiden aneh lepas beri kucing makan tulang pukul 2 pagi

"Dia dan suami saya panjat dan buka lubang untuk senang tangkap kucing tu. Alhamdulillah, kucing tu datang dan beri kerjasama.

"Jadi semuanya selamat dan dipermudahkan walaupun berisiko," ujarnya sambil menambah kucing itu kini dibela oleh dia dan suaminya.

Menurut Nisa, dia turut menitiskan air mata kerana terharu melihat nasib kucing itu yang akhirnya berjaya dibawa turun.

NISA 3

Kucing ini dibela oleh Nisa selepas ia diselamatkan.

"Saya menangis bukan sebab kucing saja. Tapi saya fikir nyawa orang dan suami saya. Sebab saya mengandung anak pertama, macam-macam saya fikir.

"Dekat setengah jam juga mereka dekat atas tu. Abang tu cakap memang tinggi dan berisiko kalau hujan. Alhamdulillah masa kucing tu tersangkut kat atas, tak hujan.

Selain menerima pujian netizen, tindakan Nisa yang berkongsi video kejadian itu sehingga tular turut mendapat perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor.

"Bomba negeri Johor dah tahu kes ini. Pihak bomba pun ada mesej saya melalui TikTok dan memohon maaf atas tindakan anggota mereka," ujarnya lagi.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain