suria

Ibu, bapa mentua dan adik ipar pindah tinggal sebumbung... ‘Bolot’ ruang tamu, setiap hari nak makan makanan mahal

Tidak semua pasangan suami isteri mampu tinggal sebumbung dengan mentua. -Gambar hiasan

KEBIASAANNYA kita sering mendengar anak, menantu tinggal bersama ibu bapa atas beberapa sebab termasuklah berdepan kekangan kewangan.

Jarang-jarang sekali kita melihat situasi sebaliknya, yang mana keluarga mentua sanggup berpindah untuk tinggal bersama anak menantu.

Bagaimanapun, itulah yang berlaku kepada seorang wanita yang kini tertekan apabila ibu dan bapa mentua serta adik iparnya berpindah tinggal bersama mereka sekeluarga.

"Bapa mentua tak nak mak mentua (isteri) penat duduk rumah nenek suami aku dekat kampung. Aku pun tak faham apa yang penatnya.

"Sekarang ni aku rasa sangat-sangat tertekan duduk sekali dengan keluarga mentua sebab dah tiada privacy," katanya.

Perselisihan faham suami isteri kadang kala berpunca daripada pihak ketiga. - Gambar hiasan

Perselisihan faham suami isteri sering berlaku kerana pihak ketiga. -Gambar hiasan

Jelas wanita itu, bapa mentuanya baru sahaja bersara dan berpindah ke semenanjung tetapi enggan tinggal di rumah nenek suaminya.

Katanya, sebelum bernikah dia dan suami pernah berjanji tidak mahu tinggal bersama keluarga masing-masing kerana enggan timbul masalah di kemudian hari.

"Aku terpaksa mengalah sebab suami kena jaga mak ayah dia. Aku pun dah penat bergaduh tapi sekarang rasa macam menumpang rumah sendiri.

"Mentua dan adik ipar 24 jam nak duduk dekat ruang tamu. Aku tak kisah pun tapi fikir la sikit bagi ruang untuk aku santai dekat rumah sendiri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun tinggal sebumbung, wanita terasa hati mentua suka hempas barang! Netizen ingatkan si suami patut beri nafkah tempat tinggal

ARTIKEL BERKAITAN: Stres mentua, adik ipar pemalas tinggal serumah... Belanja bulanan naik mencanak - “Dia kumpul ‘pad’ dah guna di tandas”

Tambahnya, dia terpaksa mengalah duduk di dalam bilik kerana adik iparnya suka tidur di ruang tamu, manakala bapa mentua pula suka tidur di depan televisyen.

"Aku nak kemas ruang tamu pun terpaksa tangguh sebab dari pagi sampai ke malam nak duduk je situ. Aku nak buat kerja rumah pun payah macam ni.

"Bilik dah ada kenapa nak juga tidur ruang tamu? Tolong la fikir aku nak juga ruang sendiri. Aku cuba untuk ikhlas mereka tinggal sekali tapi makin lama rasa aku tak boleh," katanya.

Macam-macam minta, nak makan ketam la kambing la dan semua makanan mahal yang kami jarang makan.

MENANTU

Wanita itu bertambah tertekan apabila keluarganya sendiri tidak lagi datang ke rumahnya kerana segan, selain faktor bilik tidak mencukupi.

"Aku ni dah la berjauhan dengan keluarga dan boleh balik pun masa cuti panjang. Jadi bila datang sini, singgah tidur sekejap je.

"Aku rasa bersalah sangat sebab kadang mak ayah aku terpaksa menyewa homestay kalau datang sini. Sebelum ni selalu je tidur sini," katanya.

Menurutnya lagi, dia hairan dengan sikap mentua yang dianggap pentingkan diri tanpa memikirkan keadaannya yang berkeluarga.

Makanan laut dikategorikan makanan yang berharga mahal. - Gambar hiasan

Makanan laut dikategorikan makanan yang mahal. -Gambar hiasan

"Tolong la balik duduk dekat kampung. Mentua aku ni tiada rumah sendiri sebab dah selesa duduk rumah kerajaan dan tak fikir masa depan bila pencen.

"Dulu mentua boros dan berhutang sana sini sampai kena senarai hitam hingga tak boleh beli rumah. Duit pencen beratus ribu hari tu pun dah licin sebab terlampau boros," katanya.

Disebabkan sikap boros itu, dia dan suami terpaksa menanggung keluarga mentuanya sedangkan mereka sendiri mempunyai komitmen.

"Macam-macam mentua minta, nak makan ketam la kambing la dan semua makanan mahal yang kami jarang makan.

"Sebelum ni aku dengan suami beli ayam je untuk lauk basah sebab tak mampu nak beli sotong, udang, ketam semua tu. Kami memang betul-betul jimat sebab nak simpan duit beli rumah baharu," katanya.

Wanita itu berkata terlalu banyak perkara lain yang berlaku hingga membuatkan dirinya tertekan dan tidak selesa.

"Macam mana korang cuba untuk ikhlas duduk dengan mentua? Jahat sangat ke aku ni tak nak mereka tinggal sekali?

"Salah ke kalau aku rasa macam ni? Aku dah cuba untuk reda tapi tak boleh. Aku penat," katanya sambil memberitahu dia akan bergaduh dengan suami jika isu ini dibangkitkan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain