suria

Baik di depan, ‘rancak’ mengata belakang! Menantu dah 2 kali raya tak balik rumah mentua, tahun ini pun berat hati

Seorang wanita menceritakan alasannya tidak mahu beraya rumah mentua. -Gambar hiasan

TIBANYA Aidilfitri, mereka yang mempunyai masalah dengan mentua pastinya berdepan dilema untuk pulang ke kampung.

Situasi ini turut dialami oleh seorang wanita yang meluahkan rasa serba salah untuk pulang beraya ke rumah ibu mentuanya, meskipun jarak rumah mereka hanya sekitar 10 minit sahaja.

Menurutnya, dia sukar melupakan sikap mentua yang didakwa bercakap buruk tentang dirinya di belakang, namun 'berlakon' baik di hadapannya.

Seorang wanita terasa hati dengan sikap mentuanya. -Gambar hiasan

Luah wanita ini, bukan hanya ibu mentuanya, malah ipar duainya turut memulaukannya sehingga membuatkan dia semakin berat hati untuk bertandang ke sana.

"Macam mana ya nak balik raya umah MIL yang kau benci? Sebab dia dah kata macam-macam kat belakang kau tapi depan-depan buat baik dan bila tanya dia memang la tak mengaku.

"Semua in-law 'palau' aku. Jarak rumah 10 minit je, tapi dah dua tahun aku tak pergi. Raya tahun lepas aku pergi sekejap je dalam 10 minit, lepas tu terus blah.

"Suami pun tarik muka, masalahnya dia pula back up mak mentua aku," katanya.

Tambah wanita ini lagi, ibu mentuanya juga tidak mengaku apabila perkara itu dibangkitkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak susah nak jadi menantu pilihan... Ini panduan pikat hati mentua menjelang Aidilfitri

ARTIKEL BERKAITAN: “Mulut kau kumat-kamit tadi!” - Ibu mentua tuduh menantu jampi masakan, sakit hati sup lengkuas air tangan sendiri tak laku

Dia mendakwa, mentuanya seolah-olah tidak boleh melihat anak lelakinya lebih mengutamakan isteri, malah sering berasa tersisih.

"Dia tak boleh tengok suami lebihkan isteri, terasa ditinggalkan sebab dia sendiri diabaikan. 

"Kalau mak aku, dia memang tak peduli langsung anak menantu dah kahwin. Nak balik ke tak, lantaklah," ujarnya.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen memahami dilema wanita ini dan memberi pelbagai pandangan mengenai isu hubungan dengan mentua.

Buruk-buruk mak mentua pun, dialah ibu kepada suami.

NETIZEN

"Tak apa puan. Kalau rasa nak pergi, pergilah. Kalau tak selesa, tak perlu. Tak perlu puaskan hati sesiapa atau rasa bersalah. Pergi salam, lepas tu 10 minit terus chow.

"Kita hadir sekadar untuk tidak memutuskan silaturahim, tapi menjarakkan diri untuk jaga mental health (kesihatan mental. 

"Tak perlu berlama-lama. Bab suami pula, dia seorang suami dan ayah, jadi kena matang. Kalau dia balas macam tu, kita tak perlu balas sama. Biarkan dia," nasihat seorang lagi warganet.

Tangkap layar komen netizen dan pengadu.

Namun, ada juga yang berpendapat wanita ini perlu cuba beralah demi keharmonian rumah tangga, lebih-lebih lagi si suami tetap perlu menghormati ibunya.

"Kalau rasa suami tu baik dan nak perkahwinan kekal lama, rendahkan diri sikit. Buruk-buruk mak mentua pun, dialah ibu kepada suami. Mestilah suami kena back up, kalau tak, dia bukan anak yang baik.

"Jangan jadi penyebab suami serba salah nak pilih ibu atau isteri. Kalau mampu, cuba ambil hati mak mentua. Belikan sepasang baju raya ke, bawa buah tangan. 

"Kalau ada lebih rezeki, hadiahkan gelang atau rantai emas, pasti lepas ni jadi menantu kesayangan," cadang seorang lagi netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain