suria

Rezeki jadi ‘content creator’, Kakcik Yah tukar langsir dan balang kuih baharu… Terbuka sambut peminat datang beraya

Kakcik Yah sedia terima peminat sebagai tetamu hari raya. Foto Bernama (kiri)

SAMBUTAN Aidilfitri 2025 pastinya lebih istimewa buat pencipta kandungan masakan yang semakin terkenal ini.

Pada usia 75 tahun, Kakcik Yah atau nama sebenarnya Nariah Ahmad, tetap bersemangat meraikan kedatangan Syawal dengan penuh kegembiraan.

Tahun ini Kakcik Yah meraikan hari raya di rumahnya di Kampung Melayu, Pulau Pinang, bersama anak-anak dan tujuh cucu tersayang. 

Kakcik Yah aktif berkongsi kandungan sehingga semakin dikenali di TikTok. -Foto Bernama

"Tahun ni tak balik kampung beraya di Kedah sebab anak-anak semua berkumpul di rumah. Seronok sangat apabila rumah jadi meriah dengan cucu-cucu.

"Dulu saya selalu beraya di kampung halaman, tapi sekarang lebih seronok apabila anak-anak semua balik ke rumah saya je," katanya kepada mStar.

Berbekalkan pendapatan hasil reviu dan perkongsian di TikTok, Kakcik Yah yang berasal dari Mata Ayer, Perlis ini dapat menyediakan persiapan raya yang lebih sempurna berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Lebih menggembirakan, dia menerima tajaan beg galas berjenama Bonia serta baju raya berwarna ungu muda berharga RM500 daripada sebuah syarikat makanan sejuk beku terkenal, PakMatWestern.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mola-mola kita…” - Kakcik Yah cetus sensasi di TikTok, video masakan nenek 75 tahun ini raih populariti luar biasa

ARTIKEL BERKAITAN: Kakcik Yah faham skop kerja, seronok jadi duta… PakMatWestern jawab tuduhan tunggang populariti warga emas

Sebagai seorang yang dikenali dengan content masakan, Kakcik Yah bertanggungjawab menyediakan juadah istimewa buat keluarga dan tetamu.

Antara menu utama yang disediakannya sempena Aidilfitri tahun ini adalah seperti nasi tomato, ayam masak merah, rendang serta ketupat.

"Setiap tahun saya buat sendiri kuih raya, tapi tahun ni tak sempat sebab semakin sibuk. Jadi saya beli saja kebanyakan kuih raya. 

"Walapun dalam kesibukan sekarang, saya sempat juga buat kuih mazola dan makmur. Kuih dan biskut raya lain anak-anak pun ada belikan," katanya.

Rumah saya sentiasa terbuka untuk semua... cumanya saya tak buat rumah terbuka sebab ruang rumah kecil saja.

KAKCIK YAH

Dengan pendapatan yang semakin stabil, Kakcik Yah juga berpeluang menggantikan bekas kuih raya, pinggan mangkuk yang sudah usang serta langsir rumah baharu bagi menyambut Syawal.

Tambah Kakcik Yah, Walaupun tinggal di sebuah pangsapuri kecil, dia yang memiliki lebih 400,000 pengikut di TikTok ini tetap terbuka menerima kunjungan peminat yang ingin beraya dengannya.

"Apabila semakin dikenali, saya mempunyai ramai peminat yang suka tonton video saya di TikTok. Ada yang tanya kebenaran nak datang beraya ke rumah saya. Tak ada masalah pun nak beraya, saya alu-alukan kedatangan.

"Rumah saya sentiasa terbuka untuk semua nak datang beraya termasuklah peminat semua. Cuma saya tak buat rumah terbuka sebab ruang rumah flat saya kecil saja," jelasnya.

Kakcik Yah bersyukur dengan rezeki melimpah selepas semakin dikenali.

Mengulas mengenai perancangannya pada masa akan datang, Kakcik Yah bertekad untuk terus berkongsi resipi masakan serta melakukan reviu kedai makan jika menerima jemputan.

"Sejak muda lagi saya memang ramai kawan, sekarang apabila dah dikenali ramai jadi makin seronok. Saya akan teruskan buat content memasak sebab peminat pun suka," ujarnya.

Bagi Kakcik Yah, dunia digital telah membuka peluang baharu dan membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk dia terus berkarya dan menghiburkan ramai orang.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain