suria

“Nak raya dekat dengan arwah” - Abang sifatkan rindu Nur Farah Kartini tiada penghujung

Mohd Farriza sering menziarah pusara adik kesayangan, Allahyarham Nur Farah Kartini di Pekan, Pahang.

SAMBUTAN Aidilfitri kali ini berbeza buat abang kepada Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, Mohd Farriza Azmi, 29, tanpa adik kesayangan di sisi.

Rindu yang tiada penghujung terhadap arwah yang manja dan ceria, itulah ungkapan yang diucapkan Mohd Farriza, ketika dihubungi mStar.

"Yang paling saya rindu pada arwah adalah kehadirannya. Rindu bila dia cakap nak datang ke rumah... nak makan sama-sama kat rumah," katanya.

Abang menyifatkan perwatakan Nur Farah Kartini sebagai manja dan ceria.

Berkongsi luahan perasaan, Mohd Farriza berkata, walaupun rapat dengan arwah, namun mereka sebenarnya jarang beraya bersama.

"Saya baru dua kali dapat beraya dengan arwah. Sebabnya kami tak membesar bersama.

"Tapi saya sangat rindu dengan arwah, terutama bila dia cakap nak datang rumah, nak makan kat rumah sama-sama," katanya yang bekerja sebagai jurukimpal.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Nur Farah Kartini luah rasa rindu, terjawab sudah kenapa arwah bersungguh nak cuba masak Laksa Sarawak - “Dia jarang masuk dapur”

ARTIKEL BERKAITAN: 6 abang kehilangan satu-satunya adik perempuan... Ini 10 fakta tentang pelajar pintar Nur Farah Kartini

Nur Farah Kartini merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan anak perempuan tunggal dalam keluarga, manakala Mohd Farriza adalah anak keenam.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, kali terakhir dia dan arwah berpeluang untuk beraya bersama pada Hari Raya Aidiladha 2024.

Kenangan beraya bersama pada 2024 bersama dan juga pertemuan terakhir bersama arwah.

Bercerita lanjut, dia dan keluarganya serta arwah beraya di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor, dan itu juga merupakan pertemuan terakhir antara dua beradik itu.

"Sebelum raya, arwah ada cakap nak ikut kami beraya kat Pekan, Pahang. Tapi saya tak dapat cuti raya, jadi kami beraya di Kuala Lumpur.

Rindu dengan arwah, terutama bila dia cakap nak datang rumah, nak makan kat rumah sama-sama.

MOHD FARRIZA AZMI ABDULLAH

ABANG

"Masa itulah kenangan raya yang terindah, arwah ada masak Laksa Sarawak untuk saya," ujarnya yang tak sangka dapat merasai air tangan arwah dan masih teringat masakan itu sehingga kini.

Mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, Mohd Fariza berkata, dia bersama isteri dan anaknya beraya di kampung keluarga mentua di Pekan.

Rindu yang tiada penghujung buat adik tersayang.

Pada masa sama, ini memberi peluang kepadanya untuk menziarahi pusara Nur Farah Kartini di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, juga di Pekan.

"Lagipun saya nak beraya 'dekat' dengan arwah. Saya ziarah pusara arwah pada hari raya pertama," katanya.

Malaysia digemparkan dengan kehilangan Nur Farah Kartini, 25, sejak 10 Julai 2024 selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Tanjung Malim, Perak, sebelum ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ditemukan pada 15 Julai 2024, dipercayai dibunuh individu dikenali.

Susulan itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang kini berusia 27 tahun didakwa membunuh mangsa dan sedang menunggu untuk dibicarakan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain