KEHIDUPAN berumahtangga bukan hanya dibina atas dasar cinta dan kasih sayang semata-mata, tetapi turut menuntut sikap bertolak ansur dan kerjasama dalam menjaga keharmonian.
Namun, lain pula cerita seorang wanita yang terpaksa makan hati semata-mata mahu menyambut Aidilfitri di kampungnya sendiri.
Mana tidaknya, si suami tergamak meletakkan syarat dia perlu menanggung sepenuhnya kos perjalanan jika berkeras mahu pulang beraya ke kampungnya.
Perkara ini dikongsikan oleh biras kepada wanita tersebut menerusi satu hantaran di media sosial.
Seorang wanita terpaksa melupakan hasrat menyambut Syawal di kampungnya sendiri.
"Ini terjadi pada biras saya, pelik kenapa dia raya giliran ibu mentua lagi sedangkan tahun lepas dah. Rupanya kena macam ini.
"Giliran balik raya kampung isteri, suami suruh si isteri tanggung semua perbelanjaan minyak, tol dan sebagainya. Kalau tak nak bagi 'modal', balik raya kampung suami," ujarnya.
Tindakan lelaki itu meletakkan syarat sedemikian dianggap keterlaluan malah bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan ihsan dan keadilan dalam rumah tangga.
ARTIKEL BERKAITAN: Famili mentua suka ‘bolot’ suami, kawal giliran balik raya! Isteri malas layan drama, rela balik kampung asing-asing
ARTIKEL BERKAITAN: “Dia orang paling boring dalam dunia” - Isteri hilang semangat, 16 tahun kahwin semua ajakan suami kata ‘tak nak’
"Islam ajar macam itukah, wahai suami? Boleh main ugut-ugut macam itu?
"Biras saya baru saja mula kerja selepas dua tahun tak kerja, baru nak mula hidup nak bayar hutang. Dia cari kerja pun sebab macam mengemis sangat duit orang," jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberi pelbagai respon terhadap kisah wanita tersebut.
Ramai yang meluahkan rasa simpati terhadap nasib wanita tersebut, tetapi juga ada yang mengakui melakukan perkara sama dalam rumah tangga mereka.
Komen netizen di media sosial.
"Itulah kata, tak semua lelaki layak dapat isteri suri rumah walaupun dia mampu.
"Maksudnya kahwin sebab cintakan dia saja, tak cintakan famili dia sekali. Sedihnya.
"Saya pun buat macam itu. Balik kampung saya guna duit saya, balik kampung suami guna duit dia. Supaya tak ada jadi ungkitan-ungkitan mana-mana pihak," komen netizen.