NALURI seorang anak dan rasa kemanusiaan mendorong seorang wanita pemandu e-hailing untuk membantu insan yang memerlukan.
Dikenali sebagai Santy Meng, kelibat seorang warga emas yang dilihat berjalan sendirian dalam keadaan panas terik sambil membawa beberapa bungkusan plastik berat mengundang rasa sayu.
Dek kerana itu juga dia yang sedang dalam perjalanan mengambil penumpang membuat keputusan untuk menangguhkan urusan itu demi membantu nenek berkenaan.
Santy menumpangkan seorang nenek yang berjalan kaki ketika dia sedang bekerja.
"Saya ternampak nenek tua jalan kaki dengan bawa barang berat. Waktu ini la saya diuji. Kalau saya tolong, penumpang saya mesti kena tunggu lama.
"Kalau tak tolong, nanti saya pula akan menyesal. Ah lantak la... saya patah balik dan tolong nenek tu dulu.
"Dalam masa sama, saya mesej penumpang dan bersyukur yang dia sanggup menunggu," tulisnya dalam video dimuat naik di TikTok.
ARTIKEL BERKAITAN: Lama tersadai, seorang pun tak berhenti! Pakcik tua menangis dua beradik patah balik, bantu isi minyak motosikal
ARTIKEL BERKAITAN: Nampak penunggang tersadai tepi highway, tak ada orang tolong! Ada sebab pemuda ini berhenti, bantu tunda motosikal habis minyak
Menurut wanita itu lagi, nenek berkenaan kelihatan sangat lemah dan dia mengambil masa agak lama untuk masuk ke dalam kereta kerana mengalami masalah pada kaki.
Tambahnya, setibanya di kawasan rumah dia kemudian membantu mengangkat barang milik warga emas itu.
"Lemah longlai nenek ni berjalan. Jarak perjalanan nak ke rumah nenek dalam 500 meter.
Rupanya nenek ibu tunggal yang tinggal berseorangan... dia tak ada anak.
SANTY MENG
"Jauh juga dia berjalan. Sampai je kawasan berhenti, rumah nenek kena masuk macam kawasan hutan. Jadi saya tolong angkat barang sampai ke rumah.
"Rupanya nenek ibu tunggal yang tinggal berseorangan. Dia tak ada anak," jelasnya lagi.
Difahamkan warga emas itu tinggal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Melaka.
Pemandu e-hailing menghantar nenek itu sehingga ke rumahnya.
Mengakhiri kisahnya, wanita itu berkata dia bersyukur kerana digerakkan hati untuk membuat keputusan tepat dengan membantu warga emas tersebut.
"Tak ada apa lagi saya nak cakap, betul-betul saya diuji. (Untuk) tolong atau tidak. Alhamdulillah. Teringat dekat mak saya," ujarnya.
Hingga kini video yang dikongsikan Santy meraih lebih 1.1 juta jumlah tontonan di TikTok.
Malah ia turut meraih perhatian Adun Pantai Kundor, Tuminah Kadi yang berjanji untuk menghantar wakil bagi membantu warga emas berkenaan.