suria

Destini Ambil Alih Samudra Oil Pada Harga RM80 Juta

Rozabil Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: Destini Bhd mengambil alih Samudra Oil Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kejuruteraan Samudra Timur Bhd pada harga RM80 juta.

Pengambilalihan ini akan dijelaskan sepenuhnya menerusi saham terbitan berjumlah 228.6 juta saham Destini pada 35 sen sesaham.

Pengambilalihan ini dijangka selesai pada akhir bulan selepas pemegang saham Kejuruteraan Samudra meluluskan pembeliannya pada mesyuarat agung luar biasa, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, menerusi  pengambilalihan ini, kumpulan itu mampu bergerak maju memandangkan perniagaan perkhidmatan barangan berbentuk tiub memain peranan utama dalam industri gas dan minyak.

"Pengambilalihan ini juga tepat pada masanya memandangkan industri minyak dan gas dijangka berkembang pesat, disokong pelaburan berpotensi dalam cari gali minyak dan gas serta aktiviti pengeluaran," katanya. 

Beliau turut mengatakan pengambilalihan ini adalah sejajar dengan matlamat untuk menjadikan Destini sebagai pusat sehenti bagi penawaran perkhidmatan penyelesaian kejuruteraan bersepadu. 

"Pengambilan ini juga mensinergikan bahagian marin kami yang mampu menawarkan para pelanggan minyak dan gas produk serta perkhidmatan marin kami seperti bot keselamatan dan rakit, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, keselamatan, peralatan menyelamat dan kelangsungan hidup," kata Rozabil.

Samudra Oil menyediakan penggunaan peralatan berbentuk tiub dan perkhidmatan khusus yang secara langsung menyokong aktiviti penggerudian minyak dan gas yang sedang dijalankan, terutama cari gali dan aktiviti pembangunan.

Artikel Lain