KUALA LUMPUR: Perwira Niaga Malaysia (Pernama) menyasarkan peningkatan lima peratus jualannya tahun ini kepada RM328 juta berbanding RM313.6 juta yang dicatatkan pada 2013. Pengerusi Pernama, Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, jualan ini didorong oleh pelaksanaan pelbagai kempen yang agresif. Pernama ialah syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Ia mengendalikan operasi kedai-kedai runcit hampir di kesemua kem tentera di seluruh negara dengan menawarkan harga berpatutan untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bekas tentera dan anggota sukarela Koperasi ATM. "Memandangkan jumlah anggota ATM melebihi 100,000, potensi untuk menambah bilangan anggota melanggan kedai-kedai PERNAMA masih luas, terutama dari segi langganan tunai anggota dan keluarga," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen 'Durian Runtuh'- Ganjaran Setia Tunai (GST)," di sini Rabu. GST bermaksud memberi ganjaran kepada pelanggan setia Pernama yang membeli-belah di kedai Pernama secara tunai. Di samping itu, Abdul Aziz juga berkata menerusi kempen 'jom Rabu', purata pelanggan kedai Pernama meningkat kepada 25,000 orang, bergantung kepada barang yang dipromosikan. "Transaksi pada hari Rabu meningkat kepada RM18.00 setiap transaksi. "Oleh itu, bagi menggalakkan lagi langganan tunai di kedai Pernama, kempen ini yang bermula dari Januari hingga Jun, akan menawarkan peluang kepada pelanggan untuk meraih ganjaran menarik bernilai lebih RM500,000," katanya. Kempen ini membolehkan sama ada pelanggan menebus kupon bulanan atau mengumpulnya bagi meningkatkan peluang mereka untuk memiliki ganjaran utama. "Setiap bulan, pelanggan perlu membuat pembelian tunai minimum RM100 dan akan menerima satu kupon penebusan. Dengan dua kupon penebusan, pelanggan sudah layak membuat penebusan bulanan berdasarkan pada hadiah yang ditawarkan di kedai Pernama," katanya. Pernama mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM36.4 juta, mengatasi pencapaian tahun sebelumnya sebanyak 61.7 peratus. "Atas pencapaian cemerlang ini, Pernama dapat mengisytiharkan dividen kasar sebanyak RM20 juta kepada LTAT," katanya. Mengenai masa hadapan, Pernama mungkin akan melupuskan dua kedai Pernama berikutan pemindahan kem-kem tentera. Kini, ia mempunyai 74 kedai di seluruh negara.