KUALA LUMPUR: Jualan pembuatan pada Januari meningkat 12.3 peratus kepada RM56.1 bilion berbanding RM50 bilion yang dilaporkan pada bulan yang sama tahun lalu. Jabatan Perangkaan berkata, nilai jualan meningkat 1.8 peratus atau RM1 bilion lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya. "Nilai jualan pada Disember telah dikemas kini kepada positif 4.8 peratus tahun ke tahun kepada RM55.1 bilion," kata jabatan itu dalam statitik pembuatan bulanannya pada Khamis. Berdasarkan pelarasan musim, nilai jualan pada Januari meningkat 0.7 peratus, katanya. Menurut jabatan itu, jumlah pekerja yang terbabit dalam sektor pembuatan pada Januari adalah seramai 1,031,761 orang, naik 1.3 peratus berbanding bulan sebelumnya. Sementara itu, berdasarkan tahun ke tahun, bilangan pekerja bertambah 0.8 peratus atau 8,548 orang berbanding 1,023,213 orang pada Januari 2013. Jabatan Perangkaan itu berkata, jumlah pekerja pada Disember 2013 dikemas kini kepada negatif 0.4 peratus tahun ke tahun kepada 1,018,383 orang. Berdasarkan bulan ke bulan, gaji dan dan upah yang dibayar pada Januari 2014 merosot kepada 4.2 peratus kepada RM2.9 bilion. Sementara itu, jumlah gaji dan upah yang dibayar pada Januari 2014 menokok 9.3 peratus atau RM245.8 juta berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Gaji dan upah yang dibayar pada Disember 2013 dikemas kini positif 8.5 peratus tahun ke tahun kepada RM3.027 bilion.