NUSAJAYA: Syarikat penerbangan tambang murah Indonesia, Citilink, berhasrat menjadikan Johor sebagai hab transit dalam usaha mengembangkan operasi syarikat berkenaan ke negara serantau. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya M. Arif Wibowo berkata, syarikat milik Garuda Indonesia itu melihat kedudukan Johor yang strategik sebagai berpotensi untuk mengukuhkan operasi mereka di rantau ini. "Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenainya tetapi ia akan dipertimbangkan. Kita melihat Johor sebagai 'transit point' terbaik untuk meneroka penerbangan ke China dan negara Asia Tenggara," katanya di sini, Ahad. Beliau ditemui pemberita pada majlis sambutan delegasi Citilink, ejen pelancongan dan media Surabaya bersempena pengenalan laluan Surabaya-Johor Baharu-Surabaya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong. M. Arif berkata, buat masa ini Citilink beroperasi dengan 22 pesawat Airbus 320 dan syarikat itu merancang untuk menambah sehingga 80 pesawat menjelang lima tahun lagi. Mengenai laluan Surabaya-Johor Baharu-Surabaya yang bermula semalam, beliau berkata, syarikat yakin penerbangan setiap hari itu dapat merancakkan hubungan kedua-dua negara sekaligus memperkukuh industri pelancongan dan ekonomi antara Jawa Timur dan Johor. Sementara itu, Tee berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai semakin menjadi laluan penting sejajar dengan operasi Citilink dan mampu meningkatkan kemasukan pengunjung dari Indonesia ke negeri ini. Beliau berkata, jumlah kemasukan pengunjung dari negara itu juga dijangka meningkat sehingga 20 peratus tahun ini selepas seramai 2.16 juta pengunjung rakyat Indonesia direkodkan ke negeri ini, tahun lepas. Johor merupakan destinasi ideal yang menepati kehendak pasaran Indonesia berdasarkan produk pelancongan yang menarik selain persamaan agama dan budaya, katanya. "Johor mempunyai reputasi sebagai destinasi perubatan terbaik seperti Kumpulan Perubatan Johor, menawarkan pusat pengajian tinggi antarabangsa seperti Universiti New Castle selain produk pelancongan bertaraf antarabangsa iaitu Legoland, Taman Tema Keluarga Puteri Harbour serta pusat beli belah Johor Premium Outlet," katanya.