KUALA LUMPUR: Saham sarung tangan getah aktif diurusniagakan pagi Selasa dan mencatat keuntungan di Bursa Malaysia berikutan unjuran separuh kedua yang lebih baik oleh sebuah firma penyelidikan. Kenanga Research berkata ia mengunjurkan saham syarikat seperti Top Glove, Supermax, Kossan dan Hartalega 'berprestasi tinggi' pada suku berikut selepas prestasi yang kurang memuaskan baru-baru ini. Ia berkata keyakinan itu adalah berasaskan analisisnya bahawa peluasan baharu kapasiti yang lebih perlahan berbanding jangkaan akan mengekalkan keseimbangan antara bekalan dan permintaan dan akhirnya melenyapkan tanggapan pasaran mengenai situasi terlebih bekalan. "Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan akan pulih dalam suku berikutnya, disokong oleh peluasan kapasiti hasil daripada permintaan untuk sarung tangan getah yang bertahan, diketuai sarung tangan lateks, walaupun sarung tangan nitril yang semakin menguasai pasaran sarung tangan lateks, akan terus menunjukkan prospek pertumbuhan yang lebih baik. "Ia juga disebabkan oleh ringgit yang lemah berbanding dolar US, yang merupakan berita positif untuk penggiat sarung tangan getah, serta pengekalan harga bahan mentah yang rendah," kata Kenanga Research dalam notanya hari ini. Ia berkata kebimbangan terhadap potensi kos tenaga yang meningkat tidak timbul berikutan kenaikan tarif elektrik baru-baru ini dijangka hanya menjejaskan pendapatan penggiat sarung tangan antara dua dan tiga peratus. "Kami tidak bimbang mengenainya memandangkan penggiat sarung tangan getah dapat melepaskan peningkatan kos berdasarkan pengalaman lampau semasa berlaku kenaikan tarif elektrik dan gas," katanya. Kenanga Research mengekalkan saranan 'beli lebih' ke atas sektor sarung tangan getah dengan Supermax sebagai pilihan utama. Antara saham sarung tangan getah, Supermax dan Top Glove masing-masing meningkat lima sen kepada RM2.52 dan RM4.93, Kossan menokok empat sen kepada RM4.00, manakala Hartalega menambah satu sen kepada RM6.44, setakat 10.32 pagi.