MUKAH: Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) di bawah Kementerian Kerja Raya telah memperkenalkan Program Kontraktor Bumiputera Berprestasi Tinggi tahun ini sebagai salah satu langkah untuk memperkasakan kontraktor Bumiputera di negara ini. Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof hari ini berkata program ini menyediakan satu pangkalan data sebagai rujukan kepada agensi dan syarikat berkaitan kerajaan bagi mendapatkan senarai kontraktor Bumiputera yang berprestasi tinggi. "Pangkalan data ini diharapkan dapat membantu kerajaan untuk mengurangkan masalah projek sakit dan seterusnya dapat menggalakkan percambahan kontraktor Bumiputera yang berdaya saing," katanya ketika berucap merasmikan Program Khidmat Masyarakat anjuran PKK dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) di Kampung Pulat Balingian, dekat sini. Menurutnya, PKK turut mewujudkan Program Inspektorat Taraf Bumiputera bagi melaksanakan pengauditan ke atas taraf Bumiputera sesebuah syarikat kontraktor khususnya di kalangan mereka yang memperolehi kontrak kerajaan. "Kerajaan tidak mahu amalan-amalan negatif seperti syarikat kontraktor bukan Bumiputera menggunakan lesen kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan projek kerajaan terus berlaku di peringkat akar-umbi," katanya. Fadillah berkata sekiranya pengauditan di bawah program inspektorat ini mengesan terdapatnya penyelewengan dan penyalahgunaan sijil taraf Bumiputera, PKK akan menyenarai hitamkan kontraktor terbabit dan menarik balik taraf Bumiputera yang diberikan. Selain itu, PKK turut merancang untuk mengadakan 264 program pembangunan kapasiti kontraktor Bumiputera melibatkan aspek pengurusan dan teknikal sepanjang tahun ini dan menyasar 21,100 orang kontraktor menyertainya. Menurutnya, kerjasama dengan Kementerian Kewangan juga sedang dibentuk untuk menganjurkan kursus berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menyediakan kontraktor Bumiputera untuk menghadapi cabaran berkaitan pengurusan kewangan dan cukai. "Bagi menjayakan matlamat untuk memperkasakan Agenda Bumiputera dan meningkatkan kompetensi kontraktor Bumiputera, PKK akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO (Badan Bukan Kerajaan) untuk melaksanakan program-program pembangunan lain di masa hadapan," katanya.