suria

Fama Sedia 50 Barangan Berharga Borong

TASEK GELUGOR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan sebanyak 50 tan sebulan bagi sembilan jenis barangan terpilih yang akan dijual pada harga borong di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Pengarah Fama Wilayah Utara Mohd Radzi Muhammad Hanafiah berkata ia adalah usaha kerajaan dalam meringankan beban pengguna untuk memperoleh barang keperluan dengan lebih menjimatkan.

"Setakat ini Fama wilayah utara menawarkan sembilan jenis barangan di lima pusat operasi kita iaitu di Bukit Mertajam di sini, Arau di Perlis dan Sungai Petani, Alor Setar serta Langkawi di Kedah.

"Selain itu kita juga turut mengedarkan kepada peniaga Pasar Tani dan Agrobazar di tiga negeri berkenaan bagi memudahkan penguna memperoleh barang keperluan dengan harga lebih murah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Jimat Belanja Dapur dan Pengedaran Stok Bekalan Makanan Negara peringkat negeri oleh Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya di Pasar Tani Tasek Gelugor, di sini, Ahad.

Mohd Radzi berkata antara barangan diberi potongan harga adalah bawang besar India, bawang kecil rose, halia Thailand dan China, lobak merah, kentang, cili, kelapa dan kobis.

Katannya bekalan berkenaan yang diimport dari beberapa negara termasuk China, India, Vietnam dan Indonesia menawarkan penjimatan harga antara lima hingga 20 peratus.

"Harga jualan barangan yang ditawarkan Fama itu berkemungkinan akan berubah mengikut pasaran tetapi saya boleh beri jaminan bahawa harganya lebih rendah berbanding tempat lain," katanya.

Beliau berkata program itu merupakan kesinambungan Program Jimat Belanja Dapur yang dilaksanakan sebelum ini dan sembilan barangan berkenaan merupakan komoditi utama yang banyak digunakan bagi penyediaan makanan.

"Kita mengharapkan pihak lain juga akan mengikut jejak menurunkan harga sekali gus dapat mencapai usaha kerajaan mengurangkan kenaikan harga barangan," katanya.

Fama, China, India, Vietnam

Artikel Berikut

Artikel Lain