KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menjangkakan projek minyak dipertingkat (EOR) bakal menjadi penyumbang besar kepada pengeluaran minyak domestik dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Naib Presiden Eksekutif, Perniagaan Eksplorasi dan Pengeluaran Petronas, Datuk Wee Yiaw Hin berkata, projek EOR berpotensi menghasilkan sehingga 90,000 tong setiap hari dari lapangan minyak matang. "Ini adalah kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada pengeluaran kami dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang," katanya kepada Bernama pada Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2014 di sini, Rabu. Katanya, Petronas sedang membangunkan dua lagi projek EOR tahun ini selepas projek pengenalan EOR Tapis, di luar pesisir Terengganu tahun lepas. Menurutnya, antara projek baharu ialah EOR Baronia, di luar pesisir Sarawak yang kini dalam fasa reka bentuk. Petronas mempunyai operasi di lebih 60 negara, mengeluarkan 2.21 juta tong setiap hari, dengan operasi domestik menyumbang 1.62 juta tong. Projek EOR sulung syarikat itu di lapangan minyak Tapis dijangka memulakan operasi tahun ini, meningkatkan pengeluaran lapangan minyak matang sehingga 35,000 tong sehari pada 2016 atau 2017 berbanding 3,000 tong hingga dan 4,000 tong pada masa ini.