suria

Selepas 16 Tahun Terbengkalai & Bertukar Tangan Empat Kali Akhirnya Main Place Dibuka Dengan Penuh Ceria

The Main Place, mercu tanda baru di USJ21, Subang Jaya.

SUBANG JAYA: Tiga kali terbengkalai, tiga kali bertukar kontraktor dan mengambil masa selama 16 tahun untuk disiapkan, tetapi akhirnya, pembeli kondominium Main Place di USJ21 di sini boleh menarik nafas lega kerana mereka memperolehi kunci untuk menduduki kediaman itu selepas pihak berkuasa tempatan memberikan sijil layak diduduki baru-baru ini.

Kondominium Main Place keseluruhannya menawarkan 1,211 unit kediaman dan lantai komersil peruncitan yang antara lain termasuklah rangkaian makanan segera popular, kafe dan restoran.

Projek bernilai RM291 juta itu berjaya disiapkan oleh pemaju yang keempat selepas tiga pemaju terdahulu gagal menyiapkannya sejak tahun 1998.

Pemaju keempat tersebut ialah Sumbangan Lagenda Sdn Bhd, sebuah subsidiari Bina Puri Holdings Bhd.

Dalam majlis penyerahan kunci kepada para pemiliki, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Abdullah Marjunid, hadir bagi pihak berkuasa tempatan manakala Bina Puri diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Ir Wong Foon Meng, Matthew Tee Kai Woon, Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri Holdings Bhd dan Ir Jason Yam Huang Meng, Pengarah Urusan Sumbangan Lagenda Sdn Bhd.

“Kami berasa gembira untuk melaksanakan tanggungjawab berat ini dengan jayanya malah dengan menambah kemudahan yang lebih baik kepada para pembeli kerana beberapa ciri yang direkabentuk 16 tahun yang lalu sudah ketinggalan zaman berbanding sekarang,” kata r Wong.

The Main Place menawarkan tiga bentuk unit kediaman iaitu studio satu bilik, dua bilik dan tiga bilik dengan saiz keluasan dari 418 kaki persegi kepada 1,535 kaki persegi yang terletak di atas tanah seluas 4.309 ekar di No 49, Jalan USJ 21/10, UEP Subang Jaya.

Para pemilik kini berupaya untuk menikmati lif yang lebih laju, kolam renang bersaiz Olimpik dan kemudahan umum seperti dewan, kafetaria, gimnasium, bilik sauna, kawasan bermain untuk kanak-kanak dan gelanggang skuash.

Kelebihan kondominium ini ialah kawasan peruncitannya berjaya menarik beberapa jenama terkenal seperti Jaya Grocer, Toys R’ Us, Starbucks, Kedai Buku Popular, McDonalds, Uniqlo dan kedai barangan murah Jepun, Daiso untuk membuka premis di situ.

Lebih 90 peratus unit kediamannya telah habis dijual manakala selebihnya kini dibuka untuk jualan.

Artikel Lain