KUALA LUMPUR: Majikan yang mempunyai lebih 50 pekerja wajib menggunakan saluran eletronik, terutamanya e-Caruman untuk menghantar butiran caruman bulanan pekerja mereka berkuatkuasa 1 April ini. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Ibrahim Taib berkata ini adalah kerana Borang A bercetak tidak lagi dihantar kepada mereka. "e-Caruman menawarkan kemudahan kepada majikan untuk menghantar butiran caruman KWSP dengan selamat dan menjimatkan masa. Ia membantu mereka mengurangkan kos operasi dan dalam jangka panjang membantu mereka meningkatkan kecekapan operasi," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis. Bagaimanapun, majikan yang ingin menggunakan perkhidmatan e-Caruman perlu mempunyai i-Akaun terlebih dahulu. Majikan yang baharu dan sudah berdaftar perlu melengkapkan borang KWSP 1 atau KWSP 1 (i) untuk mendapatkan kod pengaktifan i-Akaun masing-masing. Sementara itu, Ibrahim juga menggalakkan pemegang i-Akaun sedia ada untuk beralih kepada kemudahan e-Caruman dengan serta-merta. Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman web www.kwsp.gov.my, mengunjungi cawangan KWSP terdekat atau dengan menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000 (8 pagi hingga 6 petang).