suria

Lembaga Lada Galak Petani Tanam Lada

SENAI: Lembaga Lada Malaysia menggalakkan lebih ramai petani menanam lada, terutama secara kecil-kecilan kerana permintaan untuk komoditi itu semakin bertambah dan menyebabkan harganya meningkat.

Pengurus Cawangan untuk Pejabat Wilayah Johor, Stephen Mariasomalia berkata, prospek untuk lada sangat positif, terutama dalam tempoh tiga tahun lalu.

"Menurut Komuniti Lada Antarabangsa, iaitu pertubuhan antara kerajaan negara pengeluar lada, sejak beberapa tahun lalu mereka menyaksikan penggunaan tahunan meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 0.3 peratus pengeluaran," katanya.

Mariasomalia, yang mengawal selia operasi negeri di selatan Semenanjung Malaysia berkata, Malaysia kini adalah pengeluar kelima terbesar lada dengan 26,000 tan metrik setahun.

Pengeluaran dunia untuk tahun ini kira-kira 333,000 tan metrik berbanding penggunaan sebanyak 387,000 tan metrik.

"Terdapat kekurangan 53,000 tan metrik dan ia berlaku sejak tiga tahun lalu. Permintaan melebihi simpanan, sebab itu ketika ini harga lada agak tinggi," katanya.

Vietnam adalah pengeluar lada terbesar dunia dengan menguasai 32 peratus pasaran diikuti Indonesia (18 peratus), India (17 peratus ), Brazil (13 peratus) dan Malaysia (lapan peratus).

Ketika ini harga pasaran ialah kira-kira RM19 sekilogram untuk lada hitam dan RM26 sekilogram untuk lada putih.

Daripada keseluruhan pengeluaran lada, 70 peratus untuk eksport manakala baki untuk penggunaan domestik.

"Kami mencari lebih ramai individu yang mempunyai tanah yang terlalu kecil untuk ditanam kelapa sawit atau getah. Jika ingin mengusahakannya secara ekonomi, ia adalah kira-kira satu hektar dan boleh ditanam kira-kira 2,000 pokok lada," katanya.

Mariasomalia berkata, dengan keluasan itu, petani boleh memperolehi antara RM60,000 hingga RM70,000 semusim (Mei hingga Ogos), iaitu purata RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

"Harga lada agak konsisten sejak tiga hingga empat tahun lepas dan ia dijangka kekal untuk tempoh dua tahun lagi berbanding komoditi lain seperti kelapa sawit dan getah," katanya.

Keluasan tanah paling ideal untuk pekebun kecil ialah kira-kira 0.2 hektar hingga satu hektar.

Orang ramai yang berminat menceburi penanaman lada boleh menghubungi Pejabat Lembaga Lada Malaysia wilayah Johor melalui nombor 07-5986485 atau melayari laman sesawang www.mpb.gov.my untuk keterangan lanjut.


Lada, Senai, Johor

Artikel Lain