PETALING JAYA: Perlis bakal menjadi hub perkhidmatan pelabuhan darat bagi wilayah utara semenanjung. Menteri Besarnya, Azlan Man berkata, projek yang dianggarkan mempunyai nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion itu kini diperingkat pertimbangan kerajaan negeri sebelum diluluskan. Tambah beliau, projek yang bakal beroperasi di Padang Besar itu akan mewujudkan sekitar 2,000 peluang pekerjaan langsung kepada rakyat di negeri itu. "Kita akan besarkan depot sedia ada hingga menjadi sebuah perlabuhan darat yang dapat menampung lebih banyak permintaan termasuk dari negara jiran, Thailand. "Perkara ini sudah dipersetujui diperingkat Kerajaan Persekutuan. Pihak pelabur yang berminat sudah mengemukan kertas cadangan secara lengkap kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan," katanya di sini, Rabu. Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Menara Star bagi mempromosikan Perlis sebagai tuan rumah Sukan Malaysia ke-17 (Sukma-17) Mei ini. Mengulas lanjut Azlan berkata, perancangan tersebut bersesuaian dengan projek Landasan Kereta Api Berkembar yang bakal menjadi tarikan baharu ke negeri itu. Pembinaan projek itu berikutan permintaan kemasukan kontena dari Thailand menggunakan pengangkutan kereta api sebanyak 25,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena setiap hari. Menurut laporan, depot sedia ada hanya dapat menampung 10,000 TEU kontena setiap hari.