suria

BMW Sasar Jualan Berganda Bagi Segmen Kereta Premium

Dr Gerhard Pils bersama BMW X5
KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia menyasarkan peningkatan berganda bagi jualan kereta jenamanya pada tahun ini berbanding jualan tahun lalu iaitu sebanyak 7,900 unit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Gerhard Pils berkata, BMW turut mahu mengukuhkan kedudukan dalam pasaran segmen kereta premium berlandaskan pengeluaran model kereta sebelum ini dan model baharu, BMW x5.

"Kita yakin akan terus mengukuhkan posisi selaku pengeluar model paling laris bagi segmen Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) Premium.

"Pada tahun lalu, BMW menguasai pasaran sebanyak 40 peratus. Namun, pada tahun ini kita mengharapkan peningkatan penguasaan pasaran segmen kereta premium menerusi pelancaran model baharu BMW X5," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan model baharu SAV, BMW X5 di sini pada Khamis.

Model generasi ketiga itu didatangkan dengan dua pilihan BMW X5 xDrive35i dan BMW X5 xDrive30d masing-masing pada harga RM598,800 dan RM558,800 di atas jalan, tidak termasuk insurans.

Pilihan warna bagi BMW X5 pula ialah putih (Alpine White), kelabu (Space Grey) dan hitam (Black Sapphire). 

Sementara itu, warna coklat (Sparkling Brown) dan kelabu (Sophisto Grey) adalah warna tambahan eksklusif untuk varian BMW X5 xDrive35i manakala warna perak (Glacier Silver) pula untuk BMW X5 xDrive30d.

Pils berkata, kemunculan model baharu itu terus melebarkan peranan BMW selaku peneraju dalam industri automotif  premium menerusi prestasi dan kecekapan yang ditambah baik, bersama kualiti pengendalian, keselesaan, versatiliti dan ambien mewah yang dipertingkatkan. 

“Sejak diperkenalkan pada 1999, BMW X5 kekal menjadi peneraju dalam segmen SAV premium sehingga hari ini. Malah BMW X5 dikenali sebagai The Boss," kata Pils.

Menurut Pils, BMW X5 menawarkan keseimbangan sempurna di antara reka bentuk yang sporty dan prestasi agresif di atas pelbagai permukaan jalan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada BMW sudah menghantar kertas kerja untuk mendapatkan insentif kenderaan efisien tenaga (EEV) di bawah Dasar Automotif Nasional (DAN), Phils berkata, perkara itu masih diperingkat perbincangan dengan kerajaan.

"Kita masih berbincang dengan kerajaan mengenai perkara itu dan sedang dalam proses menyiapkan kertas kerja untuk mendapat insentif tersebut," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain