KUALA TERENGGANU: Felcra akan mengagihkan bayaran dividen ketiga untuk 2013, berjumlah RM106 juta pada Ahad ini. Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad Datuk Ramlee Bakar berkata dengan pembayaran ketiga itu, dividen Felcra yang sudah dikeluarkan bagi 2013 berjumlah RM348 juta. Pembayaran dividen 2013 kurang sedikit berbanding 2012 yang mencatatkan RM600 juta dan RM900 juta bagi 2011, melibatkan 74,000 peserta, katanya dalam sidang media, di sini, Khamis. "Kekurangan jumlah dividen itu berikutan harga komoditi yang menjunam. Kita harap tahun ini dan seterusnya harganya terus stabil untuk kita terus keluarkan dividen kepada peserta," katanya. Mengulas isu lain, Ramlee berkata untuk tahun ini Felcra akan melaksanakan sembilan projek penyatuan dan pemulihan kawasan membabitkan keluasan 4,900 hektar di seluruh negara. Empat projek itu akan dilaksana di Sarawak melibatkan kawasan seluas 3,000 hektar manakala baki di Semenanjung, katanya. Beliau berkata untuk projek tanaman semula pula membabitkan tanaman getah dan kelapa sawit, Felcra menyasarkan kawasan seluas 50,000 hektar bagi tempoh dua tahun ini. Katanya 25,000 hektar dilaksana tahun ini dengan 12,000 hektar sudah diluluskan bagi peringkat permulaan.